Terkini
AS sekat Israel lihat teks perjanjian Iran menjelang pemeteraian di Geneva
- “Amerika Syarikat menolak permintaan Israel untuk melihat Memorandum Persefahaman yang baru dipersetujui sebelum majlis menandatanganinya, yang dijangka berlangsung di Switzerland lewat minggu ini,” lapor The Jerusalem Post yang dipetik Anadolu.
- Guy Azriel, wartawan diplomatik stesen penyiaran Israel i24NEWS, turut mengesahkan laporan itu.
- “Saya kini boleh mengesahkan bahawa Israel secara rasmi meminta akses kepada Memorandum Persefahaman Iran tetapi permintaan itu ditolak. Ini merupakan perkembangan luar biasa dan sangat jarang berlaku antara sekutu rapat dalam isu keselamatan negara yang begitu kritikal,” tulis Guy Azriel, wartawan diplomatik stesen penyiaran Israel i24NEWS.
WASHINGTON – Amerika Syarikat dilaporkan telah menahan teks memorandum persefahaman yang dimediasi Pakistan daripada Israel menjelang pemeteraian rasminya di Geneva, menurut laporan media dan wartawan Israel.
Langkah itu dilihat menambah ketegangan dalam hubungan antara kepimpinan kedua-dua negara yang sebelum ini bertelagah mengenai perjanjian damai Iran dan konflik di Lubnan.
“Amerika Syarikat menolak permintaan Israel untuk melihat Memorandum Persefahaman yang baru dipersetujui sebelum majlis menandatanganinya, yang dijangka berlangsung di Switzerland lewat minggu ini,” lapor The Jerusalem Post yang dipetik Anadolu.
Guy Azriel, wartawan diplomatik stesen penyiaran Israel i24NEWS, turut mengesahkan laporan tersebut.
“Saya kini boleh mengesahkan bahawa Israel secara rasmi meminta akses kepada Memorandum Persefahaman Iran tetapi permintaan itu ditolak. Ini merupakan perkembangan yang luar biasa dan sangat jarang berlaku antara sekutu rapat dalam isu keselamatan negara yang begitu kritikal,” tulis Azriel di media sosial.
Memorandum Persefahaman itu, yang ditandatangani secara elektronik oleh Presiden AS Donald Trump, Naib Presiden JD Vance dan Speaker Parlimen Iran Mohammad Bagher Ghalibaf, menamatkan sekatan laut AS serta sekatan Iran di Selat Hormuz sebagai balasan kepada janji Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear.
Perjanjian itu turut membuka ruang kepada rundingan selama 60 hari mengenai program nuklear Iran dan usaha meredakan ketegangan, termasuk pelonggaran sekatan ekonomi.
Harga minyak jatuh di bawah AS$78 setong apabila pasaran menjangkakan aliran perdagangan yang lebih lancar, manakala pemimpin Eropah memuji langkah tersebut dan Iran mengisytiharkan perang telah berakhir. Namun, Israel terus menyuarakan kebimbangan berhubung akses kepada teks perjanjian itu.
Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden AS, Donald Trump dilaporkan beberapa kali bertelagah berhubung keengganan Israel mengehadkan operasi terhadap Hezbollah di Lubnan, yang mana penghentian permusuhan merupakan antara tuntutan utama Iran.
Pada awal bulan ini, Trump dilaporkan menyifatkan Netanyahu sebagai “gila” dalam satu panggilan telefon yang tegang, sambil mengarahkannya supaya tidak menyerang Beirut ketika AS sedang berusaha mencapai perjanjian dengan Iran.
Axios dan beberapa media lain melaporkan bahawa Trump menghubungi Netanyahu sekitar 1 hingga 2 Jun selepas Israel meningkatkan serangan di Lubnan. Beberapa pegawai AS yang mengetahui perbualan itu berkata Trump menjerit dan melontarkan kata-kata kesat, termasuk: “Apa sebenarnya yang kamu lakukan?” serta menuduh Netanyahu tidak mengenang jasa.
Trump kemudian mengesahkan dalam beberapa wawancara bahawa beliau “terganggu” dengan tindakan Israel yang “terus berperang dengan Lubnan” dan telah menyampaikan rasa tidak puas hatinya kepada Netanyahu, walaupun masih menyatakan beliau menyukai pemimpin Israel itu secara peribadi.
Netanyahu membatalkan serangan pada hari tersebut, namun seminggu kemudian tentera Israel kembali menyerang pinggir selatan Beirut, yang mencetuskan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel serta teguran terbuka daripada Trump terhadap kedua-dua pihak.
Beberapa jam sebelum AS dan Iran mengumumkan perjanjian sementara mereka pada Isnin, Israel sekali lagi menyerang ibu negara Lubnan itu, sementara Trump menyifatkan tindak balas Hezbollah sebagai “kecil dan tidak bermakna” serta tidak wajar dijadikan alasan untuk serangan balas Israel pada waktu yang sensitif.
Dalam sidang media di Baitulmaqdis Barat lewat Isnin, Netanyahu mengakui bahawa beliau dan Trump kadangkala mempunyai perbezaan pandangan.
“Beliau ialah Presiden Amerika Syarikat dan saya ialah Perdana Menteri Israel. Banyak kali kami sehaluan dan ada masanya kami kurang sehaluan. Saya bertanggungjawab terhadap kepentingan keselamatan Israel,” katanya. – The Merdeka Times