Connect with us

Terkini

Masa depan media terletak pada kepercayaan awam, bukan kandungan tular

Published

on

Foto: Ahli Suruhanjaya MCMC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod (gambar kecil).
  • Ahli Suruhanjaya MCMC, Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod berkata dalam era ledakan maklumat dan persaingan sengit untuk menarik perhatian khalayak, organisasi media perlu mencapai keseimbangan antara kepantasan dan tanggungjawab bagi memastikan ketepatan fakta.
  • “Kandungan tular bersifat sementara tetapi kepercayaan dibina dalam jangka masa panjang. Hari ini masyarakat tidak kekurangan berita, sebaliknya apa yang semakin bernilai ialah maklumat yang boleh dipercayai,” katanya.
  • Mohamad Salmi berkata perkembangan teknologi digital, ekonomi perhatian dan penggunaan AI yang semakin meluas telah mengubah cara berita dihasilkan, diedar dan digunakan, sekali gus mewujudkan cabaran baharu terhadap profesion kewartawanan.

PUTRAJAYA – Masa depan media bukan ditentukan oleh siapa yang paling pantas menghasilkan kandungan, sebaliknya pihak yang paling mendapat kepercayaan masyarakat dalam menyampaikan maklumat sahih, kata Ahli Suruhanjaya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod.

Beliau berkata dalam era ledakan maklumat dan persaingan sengit untuk menarik perhatian khalayak, organisasi media perlu mencapai keseimbangan antara kepantasan dan tanggungjawab bagi memastikan ketepatan fakta.

“Kandungan tular bersifat sementara tetapi kepercayaan dibina dalam jangka masa panjang. Hari ini masyarakat tidak kekurangan berita, sebaliknya apa yang semakin bernilai ialah maklumat yang boleh dipercayai,” katanya dalam ucapan penutup pada dialog industri bertemakan Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini hari ini.

Mohamad Salmi berkata perkembangan teknologi digital, ekonomi perhatian dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas telah mengubah cara berita dihasilkan, diedar dan digunakan, sekali gus mewujudkan cabaran baharu terhadap profesion kewartawanan.

Beliau berkata meskipun teknologi memberi pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kecekapan penghasilan kandungan dan analisis data, prinsip teras kewartawanan seperti ketepatan, keseimbangan, integriti dan tanggungjawab perlu terus dipelihara.

“Persoalannya bukan sama ada AI akan digunakan atau tidak, tetapi bagaimana teknologi ini dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengorbankan nilai etika dan integriti kewartawanan,” katanya.

Mohamad Salmi yang juga naib cancelor sebuah universiti swasta berkata kajian menunjukkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun masih menganggap media arus perdana sebagai sumber maklumat yang lebih tepat biarpun mereka cenderung mendapatkan berita melalui media sosial disebabkan pengaruh rakan sebaya dan pencipta kandungan digital.

Menurut beliau, teknologi termasuk AI perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan dipercayai khususnya terhadap golongan muda yang menjadi antara sasaran utama dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu.

Mohamad Salmi berkata MCMC akan terus menyokong perkembangan industri komunikasi dan media menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan literasi media serta meningkatkan keselamatan dalam talian.

Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong berkata organisasi media perlu menolak kecenderungan terhadap laporan sensasi, sebaliknya mengutamakan ketepatan fakta serta kepercayaan awam.

Beliau berkata walaupun perhatian khalayak kini menjadi aset bernilai dalam era digital, organisasi media perlu kekal komited dalam mendidik masyarakat, mengesahkan maklumat serta menangani penyebaran maklumat palsu.

“Proses pengesahan memerlukan masa dan kita tidak mampu bersaing dengan akaun tanpa nama yang menyebarkan maklumat tidak sepenuhnya benar. Tanggungjawab kita adalah untuk mendidik, membuat pengesahan dan kekal teguh menangani maklumat palsu,” katanya.- BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author