Terkini
Rain Rave 2026: Dakwaan RM200 juta perlu bukti, dedah model pengiraan
- “Sebagai ahli akademik, saya berpandangan angka RM200 juta itu hanya boleh dipertahankan jika pihak penganjur atau kementerian menerbitkan model pengiraan yang terbuka. Tanpa data sokongan, angka tersebut kelihatan lebih kepada naratif promosi berbanding impak ekonomi yang telah diaudit,” – Pensyarah Pengurusan Pelancongan UiTM Melaka, Mohd Adib Izzat bin Mohd Nor
- Beliau menegaskan, pihak berwajib perlu mendedahkan sekurang-kurangnya lima data kritikal bagi menyokong dakwaan tersebut termasuk jumlah pengunjung unik bagi mengelakkan pengiraan berulang, serta pecahan antara pelancong domestik dan antarabangsa untuk membezakan pelancong harian dengan mereka yang bermalam.
KUALA LUMPUR – Angka RM200 juta hasil penjanaan ekonomi melalui Rain Rave Water Festival 2026 seperti diumumkan baru-baru ini perlu disokong dengan metodologi pengiraan yang telus bagi mengelakkan ia dilihat sekadar naratif promosi.
Pensyarah Pengurusan Pelancongan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Mohd Adib Izzat bin Mohd Nor berkata, walaupun angka tersebut tidak mustahil untuk dicapai, kesahihannya bergantung kepada data yang boleh diaudit.
“Sebagai ahli akademik, saya berpandangan angka RM200 juta itu hanya boleh dipertahankan jika pihak penganjur atau kementerian menerbitkan model pengiraan yang terbuka. Tanpa data sokongan, angka tersebut kelihatan lebih kepada naratif promosi berbanding impak ekonomi yang telah diaudit,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.
Beliau menjelaskan, berdasarkan pengiraan kasar terhadap 180,000 pengunjung yang disasarkan, purata perbelanjaan setiap individu perlulah mencecah kira-kira RM1,111.
Menurut Mohd Adib, sasaran RM200 juta tersebut dianggap realistik dan munasabah sekiranya profil pengunjung melibatkan pelancong antarabangsa atau domestik dari luar Kuala Lumpur yang mampu menyumbang kepada impak pengganda ekonomi.
Kesan itu tambahnya, boleh dilihat melalui perbelanjaan langsung seperti kos penginapan hotel, makanan, pengangkutan serta hasil jualan vendor di tapak festival, selain perbelanjaan tidak langsung yang melibatkan rantaian bekalan stok oleh pihak hotel, restoran dan peniaga kecil di sekitar kawasan terlibat.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak berwajib perlu mendedahkan sekurang-kurangnya lima data kritikal bagi menyokong dakwaan tersebut termasuk jumlah pengunjung unik bagi mengelakkan pengiraan berulang, serta pecahan antara pelancong domestik dan antarabangsa untuk membezakan pelancong harian dengan mereka yang bermalam.
Selain itu, maklumat mengenai kadar penginapan atau tempoh bermalam di hotel sekitar, perincian purata perbelanjaan harian pengunjung sepanjang tiga hari festival, serta data jualan sebenar daripada vendor yang terlibat amat diperlukan bagi memastikan angka yang dibentangkan adalah kukuh dan bukan sekadar naratif promosi semata-mata.
“Ia akan menjadi kurang meyakinkan jika majoriti pengunjung adalah penduduk tempatan harian yang hanya hadir untuk beberapa jam sahaja. Oleh itu, pendedahan metodologi amat penting untuk membuktikan impak ekonomi ini benar-benar mampan dan selari dengan strategi Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya lagi.
Media baru-baru ini melaporkan, festival tersebut dianggarkan menarik 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan, menurut sebuah persatuan pelancongan tempatan.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita), Mint Leong berkata, festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu turut mencatat 1.4 bilion klik di platform media sosial global.
Leong berkata, angka anggaran oleh persatuannya turut melepasi “garis panduan pihak ketiga” awal untuk pemain industri, yang menyasarkan 80,000 kehadiran dan perbelanjaan di lokasi antara RM55 juta hingga RM70 juta. – The Merdeka Times