Terkini
‘Jangan jadi batu api’ – Wan Rosdy tegur Guan Eng
- Teguran keras itu dibuat susulan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai.
- Menteri Besar Pahang itu turut menjelaskan bahawa jika Guan Eng mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan BN, perkara yang sama juga dirasai oleh ramai ahli dalam gabungan itu terhadap pemimpin DAP berkenaan.
- “Saya ingin mengingatkan Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar. Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti,” tegas beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Bin Wan Ismail, mengingatkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, agar tidak menjadi ‘batu api’ yang boleh mencetuskan ketegangan lebih besar dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Teguran keras itu dibuat susulan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan kongsi yang tidak boleh dipercayai.
Wan Rosdy menegaskan, kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan mampu mengeruhkan usaha penyelarasan yang sedang giat dilakukan oleh pimpinan BN serta Pakatan Harapan (PH).
“Saya ingin mengingatkan Guan Eng agar tidak menjadi batu api yang mampu mencetuskan masalah lebih besar.
“Sebagai pemimpin senior, tanggungjawab kita adalah untuk menyatukan dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti,” tegas beliau dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menteri Besar Pahang itu turut menjelaskan bahawa jika Guan Eng mempunyai pandangan negatif terhadap UMNO dan BN, perkara yang sama juga dirasai oleh ramai ahli dalam gabungan itu terhadap pemimpin DAP berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kematangan politik harus diutamakan demi menjamin kestabilan negara dan memenuhi aspirasi rakyat.
“Rakyat mahukan kestabilan dan penyelesaian, bukan pertelingkahan politik yang berpanjangan. Demi kepentingan rakyat, semua pihak perlu bertindak matang dan profesional,” tambahnya lagi.
Semalam, Guan Eng dilaporkan menyifatkan UMNO dan BN sebagai rakan kerjasama yang tidak boleh dipercayai dalam kerajaan perpaduan dan menggesa rakyat untuk menolak mereka pada pilihan raya akan datang.
Merujuk percubaan krisis politik yang dicetuskan UMNO di Negeri Sembilan baru-baru ini, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia membuktikan gabungan tersebut sanggup mengetepikan kepentingan nasional demi manfaat politik peribadi. – The Merdeka Times