Terkini
Krisis Adat Perpatih: Semua ADUN BN tarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan
- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya bersama kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN melahirkan rasa dukacita serta kecewa terhadap krisis yang berlaku, yang disifatkan berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
- “Situasi ini dijangka memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran dan keharmonian rakyat. Kami sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpinnya,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
SEREMBAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan krisis melibatkan sistem adat Perpatih dan kerangka perlembagaan negeri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya bersama kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN melahirkan rasa dukacita serta kecewa terhadap krisis yang berlaku, yang disifatkan berpotensi menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
“Situasi ini dijangka memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran dan keharmonian rakyat. Kami sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpinnya,” katanya kepada pemberita di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua ADUN hadir kecuali ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan. Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu dan ADUN Pertang turut memaklumkan bahawa barisan EXCO UMNO/BN tidak dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan di peringkat negeri, sebaliknya hanya mengetahui isu tersebut selepas ia menjadi polemik umum.
Beliau menegaskan Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan serta menggunakan kebijaksanaan dalam menguruskan krisis berkenaan, selain menekankan komitmen UMNO/BN untuk mempertahankan institusi adat serta Perlembagaan Negeri Sembilan (Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959).
Dalam masa sama, katanya, pihaknya akan mengemukakan notis rasmi kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman serta Setiausaha Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri. Selepas Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos 2023, UMNO/BN membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan selepas memenangi 31 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh lima kerusi.-The Merdeka Times