Terkini
‘Haramkan MSC di Malaysia, kapal bawa kargo ketenteraan Israel’ – BDS Malaysia
- Menerusi satu kenyataan media hari ini, BDS Malaysia turut mendakwa, selain bekalan untuk tentera rejim Zionis, MSC juga disahkan telah melakukan ratusan penghantaran pergi dan balik dari penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
- Jelasnya, perlu juga dinyatakan bahawa MSC mengekalkan perjanjian perkongsian kapal yang rapat dengan ZIM, syarikat perkapalan kargo Israel yang juga memainkan peranan penting dalam logistik ketenteraan Israel.
- “Selain semua bukti yang dikumpulkan oleh kumpulan aktivis, harus diingatkan bahawa MSC tidak pernah mengeluarkan penafian menyeluruh tentang aktivitinya membawa senjata untuk Israel,” dakwa kenyataan itu hari ini.
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa untuk mengharamkan syarikat perkapalan, Mediterranean Shipping Company (MSC), daripada beroperasi di negara ini berkuat kuasa serta-merta berikutan dakwaan penglibatan syarikat tersebut dalam membawa senjata dan bahan yang digunakan oleh tentera Israel.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, BDS Malaysia turut mendakwa, selain bekalan untuk tentera rejim Zionis, MSC juga dikatakan telah melakukan ratusan penghantaran pergi dan balik dari penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki.
“Selain semua bukti yang dikumpulkan oleh kumpulan aktivis, harus diingatkan bahawa MSC tidak pernah mengeluarkan penafian menyeluruh tentang aktivitinya membawa senjata untuk Israel,” dakwa kenyataan itu hari ini.
Jelasnya, perlu juga dinyatakan bahawa MSC mengekalkan perjanjian perkongsian kapal yang rapat dengan ZIM, syarikat perkapalan kargo Israel yang juga memainkan peranan penting dalam logistik ketenteraan Israel.
MSC kini tambahnya, mempunyai operasi yang meluas di Malaysia dengan pejabat di Shah Alam, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
“Kita mengambil maklum kerajaan Malaysia menyokong Global Sumud Flotilla 2.0 dan mengharamkan ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
“Oleh itu, kami dengan tegas menyeru kerajaan Malaysia untuk mengharamkan MSC daripada beroperasi di Malaysia berkuat kuasa serta-merta,” ujarnya.
Kenyataan itu menegaskan, kegagalan berbuat demikian berisiko menjejaskan objektif pengharaman ZIM dan boleh mendedahkan kerajaan sendiri kepada tuduhan bersubahat kerana tidak mengambil tindakan terhadap syarikat yang tidak pernah menafikan ia menghantar kargo senjata berbahaya ke Israel.
Sehubungan itu, BDS Malaysia berkata, terdapat asas untuk menuduh MSC melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurutnya, ia berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 26 Januari 2024 bahawa pembunuhan beramai-ramai sedang dilakukan oleh Israel di Gaza.
“Semua negara dan pihak mempunyai kewajipan untuk mencegah atau berhenti daripada membantu pembunuhan beramai-ramai tersebut,” katanya.
Selain itu jelas kenyataan tersebut, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki menyimpulkan dalam laporannya bertarikh 16 September 2025 bahawa Israel bertanggungjawab atas jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Mahkamah Jenayah Antarabangsa pada 21 November 2024 telah mengeluarkan waran tangkap untuk perdana menteri Israel dan menteri pertahanan ketika itu atas jenayah perang yang dilakukan di Gaza,” katanya.
MSC telah meneruskan penghantaran bahan ketenteraannya ke Israel walaupun menyedari sepenuhnya semua perkara di atas. Oleh itu ia layak dituduh melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai.Pada 20 April lalu, lebih daripada 20 buah bot flotila telah berjaya mengalihkan kapal MSC Maya yang dikesan membawa bahan yang digunakan untuk senjata Israel ketika ia menuju ke pelabuhan Ashdod dan Haifa. – The Merdeka Times