Connect with us

Terkini

Tiada lagi binaan baharu, peluasan rumah ibadat atas tanah kerajaan – Hannah Yeoh

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah ini diambil bagi membendung pertambahan kes pencerobohan baharu dan pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.
  • “Mulai hari ini, bagi mengelakkan pertambahan kes pencerobohan baharu serta pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, sebarang pembinaan atau tambahan tidak akan dibenarkan dan akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan PBT mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
  • “Segala tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti komuniti setempat,” katanya.

KUALA LUMPUR – Tidak dibenarkan pembinaan baharu atau pembesaran struktur sedia ada bagi rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di atas tanah milik kerajaan di Wilayah Persekutuan bermula hari ini dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan terhadap sebarang pelanggaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah ini diambil bagi membendung pertambahan kes pencerobohan baharu dan pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.

“Mulai hari ini, bagi mengelakkan pertambahan kes pencerobohan baharu serta pembesaran struktur sedia ada tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan, sebarang pembinaan atau tambahan tidak akan dibenarkan dan akan tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut peraturan yang berkuat kuasa. 

“Segala tindakan akan dilaksanakan secara berhemah dan penuh hormat dengan mengambil kira sensitiviti komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Hannah berkata, isu berkaitan RIBI melibatkan tanah milik kerajaan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa RIBI Wilayah Persekutuan Bil. 1/2026 yang dipengerusikan oleh beliau pada Selasa lalu.

Beliau memberitahu, terma rujukan mesyuarat itu telah ditambah baik dengan penglibatan ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur serta badan antara agama iaitu Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) bagi memperkukuh proses perbincangan dan penyelesaian.

Bagi menyokong usaha berkenaan, tambahnya, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) telah membangunkan pemetaan RIBI tanpa kebenaran mengikut kawasan Parlimen. 

Hannah memaklumkan bahawa sebanyak 163 RIBI dikenal pasti berada di atas tanah kerajaan setakat ini.

Beliau menambah, mesyuarat itu turut bersetuju menubuhkan 11 jawatankuasa kecil yang dipengerusikan oleh ahli Parlimen di kawasan masing-masing bagi menerajui perbincangan bersama pihak terlibat termasuk MCCBCHST.

“Dalam masa yang sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperincikan garis panduan berkaitan pengurusan rumah ibadat bukan Islam bagi membantu memastikan pendekatan yang lebih terselaras dan teratur di seluruh negara,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author