Terkini
Cadangan penternakan babi ADUN Seri Kembangan bukan cabar titah Sultan – DAPSY Selangor
- Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menjelaskan tindakan mengemukakan cadangan berhubung pendekatan teknologi dalam sektor tertentu termasuk ternakan babi tidak sama sekali bermaksud menolak atau mencabar keputusan yang dibuat pihak berkuasa atau institusi tertinggi negeri.
- Menutnya, ruang perbahasan dasar dalam sistem demokrasi berparlimen adalah penting dalam memastikan segenap aspek termasuk teknologi, alam sekitar dan kepentingan jangka panjang negeri dapat dinilai secara menyeluruh.
- “Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda PAS jelas tersasar daripada fakta sebenar dan lebih menjurus kepada usaha mempolitikkan isu berbanding membincangkan dasar secara rasional,” menurut kenyataan itu.
KUALA LUMPUR – Tindakan mengemukakan cadangan berhubung pendekatan teknologi dalam sektor tertentu termasuk ternakan babi tidak sama sekali bermaksud menolak atau mencabar keputusan yang dibuat pihak berkuasa atau institusi tertinggi negeri.
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menjelaskan ruang perbahasan dasar dalam sistem demokrasi berparlimen adalah penting bagi memastikan segenap aspek termasuk teknologi, alam sekitar dan kepentingan jangka panjang negeri dapat dinilai secara menyeluruh.
“Kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda PAS jelas tersasar daripada fakta sebenar dan lebih menjurus kepada usaha mempolitikkan isu berbanding membincangkan dasar secara rasional,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab kenyataan Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar yang mengecam tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Kembangan, Wong Siew Ki yang mencadangkan penerokaan semula sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor.
Semalam, dilaporkan Siew Ki telah membangkitkan hujah bahawa perkara tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dilihat secara berbeza berbanding ternakan lain, malah perlu dinilai dalam kerangka hak sama rata di bawah undang-undang.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan, ADUN Seri Kembangan itu tidak pernah mempertikaikan apatah lagi menentang titah Sultan Selangor malah, pendirian untuk menjunjung institusi Raja Berperlembagaan adalah jelas dan konsisten.
Jelasnya, apa yang dibangkitkan hanyalah satu cadangan dari sudut dasar dan teknologi, iaitu kemungkinan pendekatan penternakan yang lebih terkawal, moden dan berpiawaian tinggi.
Perkara itu ujar kenyataan itu, merupakan perbincangan teknikal dan bukannya satu tindakan untuk mencabar titah Sultan Selangor seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
“Malangnya, terdapat pihak yang memilih untuk memutarbelitkan perkara ini demi meraih sentimen politik dengan melabel cadangan dasar sebagai ‘biadab’.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan sikap suka mempermainkan isu sensitif tanpa asas yang kukuh,” kata kenyataan itu lagi. – The Merdeka Times