Terkini
Malaysia terlalu berhati-hati, Dasar pelarian dipengaruhi tekanan sentimen awam
- Penasihat Khas Menteri Luar (Kemanusiaan dan Pembangunan Semula), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, pendekatan berhati-hati itu antara faktor yang menyukarkan usaha menangani isu pelarian secara menyeluruh.
- “Kita kena ada political will. Jangan kita terlalu bimbang, takut tentang backlash sebab what is right, is right. Matter of time, the right will be. Perkataan yang tepat adalah terlalu berhati-hati, sehingga isu ini tidak dapat ditangani. Implikasi media sosial ini besar dan kita tidak boleh menjangka reaksi yang akan timbul,” katanya dalam sesi temu bual bersama The Merdeka Times.
KUALA LUMPUR – Dasar pelarian di Malaysia dilihat berdepan cabaran pelaksanaan apabila pendekatannya terlalu berhati-hati dalam menangani isu berkenaan, khususnya dalam suasana sentimen awam yang sukar dijangka.
Penasihat Khas Menteri Luar (Kemanusiaan dan Pembangunan Semula), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman berkata, pendekatan berhati-hati itu antara faktor yang menyukarkan usaha menangani isu pelarian secara menyeluruh.
Menurut beliau, impak media sosial hari ini turut mempengaruhi cara sesuatu dasar dinilai dan diterima oleh masyarakat.
“Perkataan yang tepat adalah terlalu berhati-hati, sehingga isu ini tidak dapat ditangani. Implikasi media sosial ini besar dan kita tidak boleh menjangka reaksi yang akan timbul,” katanya dalam sesi temu bual bersama The Merdeka Times.
Beliau menjelaskan, ketidaktentuan reaksi awam menyebabkan pihak berkepentingan perlu mempertimbangkan secara teliti keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan dan aspek keselamatan negara.
Dalam masa sama, Ahmad Azam tidak menafikan bahawa pendekatan berhati-hati tersebut memberi kesan kepada keupayaan dasar pelarian untuk dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Katanya, perubahan sentimen masyarakat terhadap pelarian, khususnya komuniti Rohingya, turut menjadi cabaran utama dalam merangka pendekatan yang lebih berkesan.
“Kenapa sebelum Covid kita ‘welcoming’, sekarang kita marah sangat. Ini realiti yang perlu kita fahami,” jelasnya.
Beliau berkata, perkembangan media sosial yang pantas turut menyumbang kepada pembentukan persepsi dalam kalangan rakyat, sekali gus mempengaruhi penerimaan terhadap dasar berkaitan pelarian.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Malaysia perlu terus mencari keseimbangan antara keperluan kemanusiaan dan kepentingan keselamatan, tanpa mengabaikan realiti sentimen masyarakat semasa.
Isu pelarian kekal sebagai topik sensitif di negara ini, dengan perdebatan berterusan mengenai sejauh mana Malaysia perlu memainkan peranan dalam menangani krisis kemanusiaan global tanpa menjejaskan kepentingan nasional.-The Merdeka Times