Connect with us

Terkini

ADUN DAP bangkit ‘hak kesamarataan’ dalam isu penternakan babi

Published

on

Foto: ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki.
  • “Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini juga menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.” – ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki
  • “Pertenakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan lain. Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi sama seperti yang dihadapi penternakan haiwan lain.
  • “Namun begitu, amat dukacitanya seperti yang dibangkitkan dalam titah ucapan Tuanku, isu penternakan babi telah dijadikan sebagai isu politik dan dimainkan pelbagai pihak termasuklah bekas ahli politik di luar sana.”

SELANGOR – Isu penternakan babi di Selangor kembali hangat apabila seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari DAP membangkitkan hujah bahawa perkara tersebut menyentuh hak kesamarataan warganegara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata, isu penternakan babi tidak seharusnya dilihat secara berbeza berbanding ternakan lain, malah perlu dinilai dalam kerangka hak sama rata di bawah undang-undang.

“Mengenai isu penternakan babi, dalam titah ucapan Tuanku, Seri Kembangan memohon ‘Ampun Tuanku’ menyembah bahawa isu ini juga menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Penternakan babi tidak seharusnya dibezakan daripada penternakan haiwan yang lain. Risiko pencemaran, aspek kebersihan serta kesihatan dalam penternakan babi adalah sama seperti yang dihadapi oleh penternakan haiwan yang lain.

“Namun begitu, amat dukacitanya seperti yang dibangkitkan dalam titah ucapan Tuanku, isu penternakan babi telah dijadikan sebagai isu politik dan dimainkan oleh pelbagai pihak termasuklah bekas ahli politik di luar sana,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor di sidang DUN Selangor.

Kenyataan tersebut mencetuskan perhatian kerana ia dibangkitkan hanya beberapa hari selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ketegasan terhadap larangan penternakan babi di negeri itu.

Dalam titah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan DUN Selangor Isnin lalu, Baginda menegur sikap segelintir pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhi larangan tersebut.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti penternakan babi berpotensi menimbulkan pencemaran alam sekitar selain mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Sebelum ini, pada 10 Februari lalu, media melaporkan bahawa Sultan Selangor tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu, dengan mengambil kira faktor alam sekitar dan sensitiviti sosial.

Dalam perkembangan sama, Wong turut mencadangkan agar pendekatan baharu seperti sistem penternakan tertutup dan penggunaan teknologi moden termasuk konsep sifar pelepasan (zero discharge) serta penjanaan biogas dipertimbangkan sekiranya industri tersebut ingin diteroka secara terkawal. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author