Connect with us

Terkini

10 ahli parlimen PKR bantah TURAP, Dakwa panjangkan monopoli Bestinet

Published

on

Foto: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan (kanan)
  • Sepuluh ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan bantahan keras terhadap cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melaksanakan sistem pengurusan pekerja asing baharu, The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd.
  • “Kerajaan telah mengikat perjanjian untuk menggunakan FWCMS sehingga 2031, maka kerajaan tidak boleh memperkenalkan pula satu lagi sistem seperti TURAP yang akan memanjangkan ‘konsesi monopoli’ kepada sebuah syarikat swasta untuk satu lagi tempoh yang panjang, iaitu 12 tahun seperti yang dilaporkan,” kata kenyataan itu.

KUALA LUMPUR – Sepuluh ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyatakan bantahan keras terhadap cadangan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk melaksanakan sistem pengurusan pekerja asing baharu, The Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP), yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan media bersama, kumpulan ahli parlimen tersebut berpendapat bahawa tiada keperluan satu sistem baru diperkenalkan memandangkan kerajaan sepatutnya menggunakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dilaporkan menelan belanja lebih RM1 bilion dan dijangka beroperasi pada tahun 2028.

“Kerajaan tidak boleh mempunyai beberapa sistem yang menguruskan pengambilan pekerja asing beroperasi serentak. 

“Kerajaan telah mengikat perjanjian untuk menggunakan FWCMS sehingga 2031, maka kerajaan tidak boleh memperkenalkan pula satu lagi sistem seperti TURAP yang akan memanjangkan ‘konsesi monopoli’ kepada sebuah syarikat swasta untuk satu lagi tempoh yang panjang, iaitu 12 tahun seperti yang dilaporkan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa),Wong Chen (Subang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya) Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Hassan Karim (Pasir Gudang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Onn Abu Bakar (Batu Pahat).

Menurut kenyataan tersebut, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), iaitu badan tertinggi di Parlimen yang menjadi semak imbang kerajaan telah bersidang sebanyak lapan kali dalam tempoh Disember 2023 hingga Februari 2025 untuk meneliti perihal FWCMS dan Bestinet.

Jelasnya, di antara penemuan-penemuan PAC yang diumumkan di dalam laporan bertarikh 6 Mac 2025 adalah FWCMS beroperasi dan digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri walaupun tidak ada kontrak ditandatangani di antara Bestinet dan kerajaan, sejak surat setuju terima (SST) dikeluarkan pada 12 Januari 2018 hingga tarikh SST luput pada 31 Mei 2024, iaitu selama tempoh lebih 6 tahun.

Selain itu katanya, terdapat kelemahan kronik di dalam operasi FWCMS bersabit kawalan sistem, iaitu dua ID pengguna super admin yang tidak dipegang oleh pegawai KESUMA dan 24 pengguna yang tidak sah yang meluluskan permohonan 24 majikan.

“Maka, kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang memberi gambaran seolah-olah prestasi Bestinet dan FWCMS adalah baik sangatlah bertentangan dengan prinsip tatakelola yang diulang-ulang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” jelas kenyataan tersebut.

Baru-baru ini, Ramanan dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Sumber Manusia tidak melihat sebarang isu dalam penggunaan sistem baharu pengambilan pekerja asing yang dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd dan kementerian kini sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaan sistem berkenaan, dikenali sebagai TURAP.

Sementara itu, kenyataan ahli-ahli Parlimen PKR itu turut menyeru Kementerian Sumber Manusia menumpukan tenaga untuk meneruskan reformasi pasaran kerja seperti yang telah menjadi dasar negara di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan RMK-13.

Ujar mereka, matlamat utama reformasi pasaran kerja yang digariskan di dalam RMK-13 adalah menurunkan pergantungan negara kepada pekerja asing, iaitu dengan menurunkan had maksimum jumlah pekerja asing dari 15 peratus dari jumlah keseluruhan pekerja dalam RMK12 kepada 10 peratus.

“Beberapa keputusan penting telah dipersetujui Jemaah Menteri, termasuklah pelaksanaan multi tier levy management (MTLM) dan akademi dalam industri (ADI) yang bertujuan menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan dan menyediakan kerjaya berkemahiran yang disijilkan.

“Tumpuan Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia sepatutnya melaksanakan dasar-dasar negara seperti ini dan bukannya memberi fokus untuk mengukuhkan lagi kebergantungan kepada pekerja asing,” kata kenyataan berkenaan. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author