Terkini
40 projek tebatan banjir, saliran dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menjalankan 40 projek berkaitan tebatan banjir serta saliran mesra alam dalam usaha mengurangkan risiko banjir di Kelantan dan Terengganu.

- Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebahagian daripada projek dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) itu juga sedang dijalankan, sekali gus meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir sebelum ini.
- Kerajaan sentiasa bersedia dan berusaha menambah baik kelemahan dikenal pasti bagi memastikan impak besar akibat musibah banjir tidak berulang.
- “Sehubungan itu kementerian sedang laksana beberapa tindakan lain, antaranya kerja penyelenggaraan saliran melalui Pengurusan Banjir Secara Bersepadu; membangunkan struktur dan reka bentuk berkonsepkan ‘make room for water’,” katanya.
TUMPAT: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan menjalankan 40 projek berkaitan tebatan banjir serta saliran mesra alam dalam usaha mengurangkan risiko banjir di Kelantan dan Terengganu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sebahagian daripada projek dijalankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) itu juga sedang dijalankan, sekali gus meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir sebelum ini.
“Di Kelantan saja terdapat dua projek utama RTB dalam pelaksanaan iaitu Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dengan kos RM456 juta dan kini sudah 87.74 peratus status kemajuan fizikalnya yang dijangka siap pada 20 April 2023.
“Selain itu, Projek PLSB Sungai Golok membabitkan tiga fasa iaitu fasa satu di Jalan Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) sudah mencapai 71 peratus kemajuan fizikal yang dijangka siap pada 13 Ogos 2024.
“Bagi Fasa 2, status terkini pada peringkat tender dan dijangka Surat Setuju terima kepada kontraktor dapat dikeluarkan pada Mac depan, manakala Fasa 3 dilaksanakan melalui peruntukan Off Budget dan anggaran kos keseluruhan projek sebanyak RM2.156 bilion,” katanya kepada media selepas program Gerak Kerja Pasca Banjir NRECC, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pa’ Yong di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Selari dengan jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ingin mempercepatkan projek tebatan banjir, Nik Nazmi berkata, agensi berkaitan akan menyegerakan laporan berhubung PLSB untuk tindakan selanjutnya supaya projek dapat diteruskan segera.
Beliau berkata, sebanyak 65 kejadian banjir monsun direkodkan dengan 44 kes di Kelantan dan 21 di Terengganu dengan kedua-dua negeri mencatatkan purata hujan melebihi purata hujan bulanan masing-masing.
Katanya, kerajaan sentiasa bersedia dan berusaha menambah baik kelemahan dikenal pasti bagi memastikan impak besar akibat musibah banjir tidak berulang.
“Sehubungan itu kementerian sedang melaksana beberapa tindakan lain, antaranya kerja penyelenggaraan saliran melalui pendekatan Pengurusan Banjir Secara Bersepadu; membangunkan struktur dan reka bentuk berkonsepkan ‘make room for water’.
“Contohnya menaik taraf sistem pengurusan banjir, pantai dan sungai utama serta meningkatkan tahap perlindungan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai,” katanya.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, lebih 550 sukarelawan NRECC dan agensi di bawah kementeriannya menyertai Program Gerak Kerja Pasca Banjir bertujuan meringankan beban mangsa banjir dengan empat lokasi dipilih iaitu Tumpat, dua di Pasir Mas serta Besut di Terengganu.
“NRECC turut menyumbangkan bantuan bernilai RM148,000 yang disumbangkan Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu mangsa terjejas akibat banjir,” katanya.
Sumber : Berita Harian
