Antarabangsa
Puluhan ribu rakyat pro-kerajaan turun demo di Tehran
- Barisan kepimpinan Iran menggesa penyokong turun ke jalanan, dengan perarakan itu digambarkan sebagai tanda solidariti menentang apa yang didakwa mereka sebagai kempen ketidakstabilan yang didorong kuasa asing.
- Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi mendakwa Tehran memiliki bukti bahawa pengganas AS dan Israel dipersenjatai dan diarahkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan serta pasukan keselamatan untuk meningkatkan angka korban.
TEHRAN – Iran menggerakkan demonstrasi besar-besaran menyokong kerajaan di beberapa bandar pada Isnin ketika pemimpin negara itu menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel sebagai dalang keganasan dalam protes yang berlarutan lebih dua minggu dan terus meragut nyawa.
Media kerajaan melaporkan perhimpunan besar di pelbagai wilayah, manakala Al Jazeera menyatakan “puluhan ribu” berhimpun di Tehran.
Pihak berkuasa turut mengumumkan mobilisasi baharu di Dataran Ngalabi, lokasi yang sering digunakan bagi perhimpunan disokong kerajaan.
Barisan kepimpinan Iran menggesa penyokong turun ke jalanan, dengan perarakan itu digambarkan sebagai tanda solidariti menentang apa yang didakwa mereka sebagai kempen ketidakstabilan yang didorong kuasa asing.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menuduh AS dan Israel “membakar” keganasan dalam ketegangan semasa yang disifatkannya sebagai “perang pengganas”.
Beliau mendakwa Tehran memiliki bukti bahawa pengganas dipersenjatai dan diarahkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan serta pasukan keselamatan untuk meningkatkan angka korban.
“Banyak dokumen menunjukkan campur tangan Amerika dan Israel dalam gerakan pengganas,” kata Araqchi.
Beliau turut mendakwa ejen Mossad mengiringi protes, dan campur tangan itulah yang menjadi punca keganasan serta pembunuhan yang berlaku.
Kenyataan Araqchi dibuat beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump berkata pihak tentera AS sedang menilai pilihan yang sangat kuat di Iran.
Trump menyatakan keputusan akan dibuat selepas penilaian, selain mendakwa kepimpinan Iran menghubungi Washington untuk berunding, manakala Araqchi menegaskan Iran “sedia untuk perang tetapi juga untuk dialog”.
Dari sudut angka korban, sekurang-kurangnya 192 orang terbunuh menurut Iran Human Rights (NGO berpangkalan di Norway), namun Human Rights Activist News Agency berpangkalan di AS mendakwa 544 orang maut dalam tempoh 15 hari menunjukkan perbezaan besar laporan kematian sepanjang protes.-The Merdeka Times