Antarabangsa
Lelaki Muslim dibelasah hingga mati di India, didakwa curi lembu
- Mangsa dikenal pasti sebagai Pappu Ansar, penduduk kampung Ranipur dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lelaki sehingga meninggal dunia selepas dituduh mencuri lembu.
- Polis turut memaklumkan bahawa mangsa mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjara beberapa kali sebelum ini.
INDIA – Seorang lelaki Muslim berusia 45 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai dipukul hingga mati oleh sekumpulan individu yang belum dikenal pasti, susulan dakwaan mencuri ternakan lembu di daerah Godda, India.
Menurut laporan agensi berita PTI yang memetik pihak polis, kejadian itu berlaku di kampung Matihani, di bawah bidang kuasa Balai Polis Poraiyahat.
Mangsa dikenal pasti sebagai Pappu Ansar, penduduk kampung Ranipur di bawah kawasan Balai Polis Pathargama. Mangsa dipercayai dibelasah oleh sekumpulan lelaki sehingga meninggal dunia selepas dituduh mencuri lembu.
Mengulas kejadian itu, Timbalan Penguasa Polis J P N Chaudhary mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian berlaku serta individu yang terlibat dalam jenayah tersebut.
Beliau berkata, maklumat lanjut hanya akan didedahkan selepas siasatan selesai dijalankan.
Dalam perkembangan sama, polis turut memaklumkan bahawa mangsa mempunyai rekod jenayah dan pernah dipenjara beberapa kali sebelum ini.
Kes berkenaan kini disiasat pihak polis bagi mengenal pasti pelaku serta motif sebenar kejadian.-The Merdeka Times