Antarabangsa
Pastor dakwa perjanjian Kristian hanya untuk orang putih
- Seorang pemimpin Ku Klux Klan (KKK), Thomas Rob yang mendakwa dirinya seorang pastor Kristian menerima kecaman meluas selepas mengeluarkan kenyataan rasis bahawa beliau tidak percaya orang kulit hitam boleh “diselamatkan” dan masuk ke syurga.
- Robb turut mengeluarkan dakwaan kontroversi apabila menyebut tangan Kristus tidak cukup “luas” untuk merangkumi semua orang, sekali gus mencetuskan bantahan ramai kerana dilihat menyalahgunakan agama bagi menyokong ideologi supremasi kaum.
AMERIKA SYARIKAT – Seorang pemimpin Ku Klux Klan (KKK) yang mendakwa dirinya seorang pastor Kristian menerima kecaman meluas selepas mengeluarkan kenyataan rasis bahawa beliau tidak percaya orang kulit hitam boleh “diselamatkan” dan masuk ke syurga.
Individu berkenaan dikenal pasti sebagai Thomas Robb, pemimpin nasional KKK dan ketua Thomas Robb Ministries di Arkansas.
Kenyataan tersebut dilapor dibuat dalam satu temu bual pada September bersama wartawan Joshua White, sebelum klip video itu tular semula di media sosial minggu ini.
Dalam temu bual berkenaan, Robb mendakwa kononnya Bible hampir tidak menyentuh tentang orang kulit hitam, selain menyatakan beliau percaya perjanjian Kristian melalui Nabi Isa (Jesus Christ) sebenarnya ditujukan kepada orang kulit putih sahaja.
Robb turut mengeluarkan dakwaan kontroversi apabila menyebut tangan Kristus tidak cukup “luas” untuk merangkumi semua orang, sekali gus mencetuskan bantahan ramai kerana dilihat menyalahgunakan agama bagi menyokong ideologi supremasi kaum.
Menurut Southern Poverty Law Center (SPLC) Robb telah mengetuai KKK sejak 1989 dan pernah cuba menjenamakan semula organisasi itu dengan menggunakan gelaran “National Director” (Pengarah Kebangsaan) serta menamakan kumpulan tersebut sebagai “The Knights Party.”
Dalam wawancara sama, Robb juga mendakwa fahaman supremasi putihnya berakar daripada apa yang disifatkannya sebagai sejarah Bible, termasuk hujah bahawa sejarah Amerika bukan bermula pada 1776 tetapi bermula melalui “perjanjian” antara Tuhan dan Nabi Ibrahim (Abraham), yang didakwanya hanya terpakai kepada orang kulit putih.
Robb turut menyatakan bahawa orang kulit hitam mungkin boleh “redeemed” (ditebus) namun bukan “saved” (diselamatkan).
Beliau malah mengeluarkan kenyataan menghina dengan mendakwa orang kulit hitam tidak sesuai menjadi pasangan kahwin untuk keluarganya dan ada “kelompok tertentu” yang tidak dialu-alukan.
Apabila ditanya tentang apa yang beliau mahu untuk lelaki kulit hitam di Amerika, Robb memperlekehkan mereka dengan melabel sebagai “gang bangers” serta menyuruh mereka belajar “rule of law”
Klip temu bual yang tular itu sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai rasisme, ekstremisme dan manipulasi agama, selain menimbulkan gesaan agar tindakan tegas diambil terhadap ucapan kebencian yang berpotensi mengancam keharmonian masyarakat.-The Merdeka Times