Terkini
Ejen Israel ‘aktif’ di Iran ketika ini – Menteri zionis
- Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu mendakwa rangkaian Israel di Iran bukan sahaja pernah memainkan peranan dalam serangan sebelum ini, malah masih aktif sehingga kini.
- “Apabila kami menyerang Iran tahun lalu, kami berada di wilayah mereka dan tahu bagaimana menyediakan medan untuk serangan itu. Saya boleh beri jaminan orang kita sedang bekerja di sana sekarang,” katanya seperti dilaporkan akhbar Israel Hayom.
TEL AVIV — Seorang menteri Israel mencetuskan kontroversi apabila mendedahkan bahawa ejen Israel didakwa sedang beroperasi di Iran ketika ini, sekaligus memberi bayangan operasi risikan dan tindakan di lapangan masih berjalan dalam negara musuh tradisi Israel itu.
Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu mendakwa rangkaian Israel di Iran bukan sahaja pernah memainkan peranan dalam serangan sebelum ini, malah masih aktif sehingga kini.
Dalam satu wawancara bersama radio tentera Israel, Eliyahu berkata Israel telah beroperasi di wilayah Iran ketika melancarkan serangan tahun lalu dan mengetahui cara menyediakan medan bagi memastikan serangan itu berhasil.
“Apabila kami menyerang Iran tahun lalu, kami berada di wilayah mereka dan tahu bagaimana menyediakan medan untuk serangan itu. Saya boleh beri jaminan orang kita sedang bekerja di sana sekarang,” katanya seperti dilaporkan akhbar Israel Hayom.
Mengulas mengenai situasi dalaman Iran dan kemungkinan campur tangan Israel, Eliyahu menafikan bahawa operasi Israel bertujuan secara langsung untuk menjatuhkan kerajaan Iran, namun menegaskan sasaran utama adalah melemahkan keupayaan Iran mengancam Israel.
“Adakah mereka sekarang bertindak secara langsung untuk menjatuhkan rejim? Tidak.
“Adakah mereka bertindak untuk memastikan Iran tidak dapat mengancam kami dari semua aspek lain? Ya,” katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai pengakuan terbuka luar biasa mengenai operasi sulit Israel di dalam Iran, dalam suasana ketegangan serantau yang masih memuncak melibatkan konflik Gaza dan pertelagahan geopolitik melibatkan Israel-Iran.-The Merdeka Times