Terkini
Tak mahu rakyatnya “diradikalkan” Muslim Brotherhood – UAE henti taja belajar di UK
- Menurut laporan Financial Times, UAE telah mengeluarkan universiti-universiti Britain daripada senarai institusi pengajian tinggi yang layak menerima biasiswa kerajaan, sekali gus memberi kesan langsung kepada pelajar yang memohon tajaan untuk belajar di UK.
- Perkembangan ini berlaku ketika hubungan UAE-UK dilapor tegang berkaitan pendekatan Britain terhadap isu ‘Muslim Brotherhood’, apabila London dikatakan belum mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai organisasi pengganas.
ABU DHABI — Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor menghentikan pembiayaan kerajaan untuk warganya melanjutkan pengajian di universiti-universiti di United Kingdom (UK), susulan kebimbangan bahawa pelajar Emirati mungkin terdedah kepada pengaruh radikalisasi dan ekstremisme di kampus luar negara.
Menurut laporan Financial Times, UAE telah mengeluarkan universiti-universiti Britain daripada senarai institusi pengajian tinggi yang layak menerima biasiswa kerajaan, sekali gus memberi kesan langsung kepada pelajar yang memohon tajaan untuk belajar di UK.
“UAE tidak mahu anak-anak mereka diradikalkan di kampus,” menurut seorang individu yang terlibat secara langsung dalam keputusan tersebut.
Langkah tersebut turut bermakna permohonan biasiswa daripada pelajar Emirati yang ingin melanjutkan pengajian ke UK kini ditolak, selain kerajaan UAE dilapor tidak akan mengiktiraf kelayakan akademik daripada institusi yang tidak tersenarai dalam sistem akreditasi negara itu.
Keputusan itu dijangka menjadikan ijazah dari universiti UK kurang bernilai berbanding kelayakan dari institusi lain yang diiktiraf kerajaan UAE, menurut laporan berkenaan.
Perkembangan ini berlaku ketika hubungan UAE-UK dilapor berdepan ketegangan berkaitan pendekatan Britain terhadap isu ‘Muslim Brotherhood’, apabila London dikatakan belum mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai organisasi pengganas.
UAE sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap gerakan Islamis di dalam negara dan luar negara, dan isu Muslim Brotherhood sering menjadi antara faktor sensitif dalam hubungan diplomatik serantau.
Dalam reaksi balas, Pejabat Perdana Menteri UK, Keir Starmer menegaskan bahawa ekstremisme tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Britain dan kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sebarang unsur sedemikian.
“Semua bentuk ekstremisme langsung tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kami, dan kami akan membanterasnya di mana sahaja ia wujud,” menurut kenyataan pejabat Starmer.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa UK menawarkan antara sistem pendidikan terbaik di dunia, selain mengekalkan langkah ketat berkaitan kebajikan pelajar serta keselamatan kampus.
Laporan itu juga menyebut bahawa pada sesi akademik 2023–2024, kira-kira 70 pelajar universiti di UK dilapor kemungkinan dirujuk kepada program penyah-radikalisasi kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UAE, Sheikh Mohammed bin Zayed Al-Nahyan beberapa kali mempersoalkan pendirian UK dalam isu Muslim Brotherhood, manakala pentadbiran Starmer sebelum ini menyatakan perkara tersebut berada di bawah semakan rapi.-The Merdeka Times