Terkini
Selepas Venezuela, Trump mahu takluki Greenland, dijangka kerah tentera AS
- Greenland telah berulang kali menyatakan bahawa ia tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat.
- Bagaimanapun menurut White House Trump melihat penaklukan Greenland sebagai keutamaan keselamatan negara AS yang perlu untuk “menghalang musuh-musuh kami di rantau Artik.”
- “Presiden dan pasukannya sedang membincangkan pelbagai pilihan untuk mengejar matlamat dasar luar yang penting ini, dan sudah tentu, penggunaan tentera AS sentiasa merupakan satu pilihan di bawah kuasa pemerintah tertinggi,” jelas White House.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pasukannya sedang membincangkan pilihan untuk menakluki Greenland, dan menyifatkan penggunaan tentera AS bagi mencapai matlamat itu adalah “sentiasa satu pilihan,” menurut kenyataan White House.
Cita-cita Trump untuk mendapatkan Greenland sebagai hab strategik AS di Artik telah dibangkitkan semula sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan penculikan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, oleh AS.
Greenland telah berulang kali menyatakan bahawa ia tidak mahu menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat.
White House berkata dalam satu kenyataan yang dipetik TRT World, sebagai respons kepada pertanyaan bahawa Trump melihat penaklukan Greenland sebagai keutamaan keselamatan negara AS yang perlu untuk “menghalang musuh-musuh kami di rantau Artik.”
“Presiden dan pasukannya sedang membincangkan pelbagai pilihan untuk mengejar matlamat dasar luar yang penting ini, dan sudah tentu, penggunaan tentera AS sentiasa merupakan satu pilihan di bawah kuasa pemerintah tertinggi,” jelas White House.
Seorang pegawai kanan AS berkata perbincangan mengenai cara untuk memperoleh Greenland sedang giat berlangsung di Pejabat Oval dan para penasihat sedang membincangkan pelbagai pilihan.
Kenyataan tegas menyokong Greenland daripada pemimpin NATO tidak menghalang Trump, kata pegawai tersebut.
“Ia tidak akan dibatalkan,” kata pegawai itu mengenai usaha presiden untuk memperoleh Greenland sepanjang baki tiga tahun tempoh perkhidmatannya.
Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, berkata pilihan termasuk pembelian terus Greenland oleh AS atau membentuk Perjanjian Persatuan Bebas (Compact of Free Association, COFA) dengan wilayah tersebut.
Pemimpin dari kuasa besar Eropah dan Kanada menyatakan sokongan kepada Greenland pada hari Selasa, dengan menyatakan bahawa pulau Artik itu adalah milik rakyat negara itu. – The Merdeka Times