Connect with us

Terkini

13 gambar fail Epstein hilang, Ahli Kongres soal apa yang disembunyikan?

Published

on

Foto: Foto dalam fail kes Jeffrey Epstein.
  • Sekurang-kurangnya 13 foto dalam fail kes Jeffrey Epstein, termasuk salah satu yang menampilkan Donald Trump, dipadam  dari laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
  • Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, menolak dakwaan bahawa pemadaman dilakukan kerana Trump.
  • “Dakwaan itu mengarut. Puluhan foto lain Trump bersama Epstein sudah pun diterbitkan,” katanya kepada NBC News.

WASHINGTON – Sekurang-kurangnya 13 foto dalam fail kes Jeffrey Epstein, termasuk salah satu yang menampilkan Donald Trump, dipadam  dari laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berikutan kebimbangan yang dibangkitkan oleh mangsa, kata Timbalan Peguam Negara pada Ahad.

Foto berkenaan antara ribuan bahan yang dikeluarkan kepada umum pada Jumaat lalu sebelum hilang daripada portal rasmi tanpa penjelasan pada Sabtu, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan ahli Parlimen Demokrat di Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan.

Dalam satu kenyataan di platform X, DOJ menjelaskan bahawa imej melibatkan Trump itu ditandai oleh Pejabat Daerah Selatan New York untuk tindakan lanjut demi melindungi mangsa, sebelum dipadam sementara “atas faktor berjaga-jaga.”

Menurut DOJ, siasatan mendapati tiada mangsa Epstein muncul dalam foto tersebut dan imej itu kemudian dimuat naik semula tanpa sebarang perubahan atau suntingan.

Walau bagaimanapun, setakat malam Ahad, baki fail lain yang dipadam masih belum dimuat naik semula ke laman web berkenaan.

Timbalan Peguam Negara, Todd Blanche, menolak dakwaan bahawa pemadaman dilakukan kerana Trump.

“Dakwaan itu mengarut. Puluhan foto lain Trump bersama Epstein sudah pun diterbitkan,” katanya kepada NBC News.

Blanche turut menegaskan keputusan pemadaman beberapa fail adalah selaras dengan arahan mahkamah di New York yang mengkehendaki kerajaan mengambil kira pandangan mangsa atau kumpulan hak mangsa jika timbul kebimbangan berkaitan pendedahan dokumen.

Fail Epstein menjadi tumpuan besar selepas Kongres meluluskan undang-undang yang mewajibkan DOJ mendedahkan dokumen berkaitan sepenuhnya sebelum tarikh akhir Jumaat lalu.

Namun, banyak bahan yang dikeluarkan masih disunting secara meluas.

Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, yang mengetuai usaha mendesak pendedahan fail, menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan pentadbiran Trump yang dilihat gagal mematuhi sepenuhnya mandat undang-undang.

Beliau kini merangka usul tindakan menghina terhadap Peguam Negara Pam Bondi atas dakwaan ingkar terhadap arahan Kongres.

Fail Epstein yang dikeluarkan turut mengandungi gambar-gambar dalaman premis Epstein, termasuk bilik urut dengan seni dinding serta imej wanita yang sebahagiannya disunting wajah.

Trump menafikan sebarang salah laku berkaitan Epstein, dan sehingga kini tidak didakwa dalam sebarang kes berkaitan pesalah seksual yang sudah meninggal dunia itu.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author