Terkini
Wujudkan jawatankuasa pemantau pastikan Bernas laksana 10 obligasi sosial
Kerajaan perlu memastikan syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) melaksanakan kesemua obligasi sosial seperti yang ditetapkan dengan kadar segera.
- Kerajaan perlu memastikan syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) melaksanakan kesemua obligasi sosial seperti yang ditetapkan dengan kadar segera.
- Jawatankuasa Pemantauan perlu diwujudkan bagi memantau pelaksanaan setiap obligasi sosial yang telah dipersetujui dilaksanakan Bernas itu.
- Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, terdapat 10 obligasi sosial ditetapkan terhadap Bernas oleh kerajaan sebelum ini pada 2020.
- Beliau berkata, obligasi sosial itu perlu dilaksanakan memandangkan konsesi Bernas telah dilanjutkan selama 10 tahun lagi bermula 2021 sehingga 2031.
- Abdul Rashid turut berpandangan antara obligasi sosial perlu diberi penekanan adalah pemberian Bantuan Tabung Bencana demi membantu golongan petani.
ALOR SETAR – Kerajaan perlu memastikan syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) melaksanakan kesemua obligasi sosial seperti yang ditetapkan dengan kadar segera.
Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, terdapat 10 obligasi sosial ditetapkan terhadap Bernas oleh kerajaan sebelum ini pada 2020 ketika lanjutan konsesi bagi pengedaran beras di negara.
Menurutnya, beberapa obligasi sosial itu meliputi memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan serta mengekalkan peranan sebagai pembeli terakhir padi daripada petani.
“Antara lain, menguruskan pembayaran subsidi kepada petani mengikut kadar ditetapkan kerajaan; menguruskan skim pengilang, pemborong dan koperasi petani dan memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanikal padi.
“Selain itu, membangunkan sawah berskala besar; memberikan Bantuan Tabung Bencana; menyediakan menyediakan dana bagi pengurusan stok penimbal benih Padi Negara serta pembangunan sistem maklumat industri padi dan beras dan menguruskan nutrien tanah sawah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, obligasi sosial itu perlu dilaksanakan memandangkan konsesi Bernas telah dilanjutkan selama 10 tahun lagi bermula 2021 sehingga 2031.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut berpandangan antara obligasi sosial perlu diberi penekanan adalah pemberian Bantuan Tabung Bencana demi membantu golongan petani.
“Sebagai contohnya, keuntungan import beras boleh dimasukkan dalam Tabung Bencana Tanaman Padi itu untuk membantu petani, sekaligus membaiki infrastruktur berkaitan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Jawatankuasa Pemantauan perlu diwujudkan bagi memantau pelaksanaan setiap obligasi sosial yang telah dipersetujui dilaksanakan Bernas itu.
Menurut beliau, perjanjian baharu konsesi yang akan tamat pada tahun 2031 itu dipercayai boleh ditarik sekiranya syarikat terbabit tidak melaksanakan obligasi sosial terbabit.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di bawah pimpinan Menterinya, Mohamad Sabu diharapkan memberi perhatian terhadap 10 obligasi sosial perlu dilaksanakan Bernas itu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rashid berkata, kerajaan Persekutuan perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri berhubung isu melibatkan industri padi walaupun berbeza pandangan politik memandangkan ia melibatkan isu bekalan makanan negara.
Sumber: Sinar Harian