Terkini
Wanita Muslim berniqab ditembak di pusat beli-belah
- Council on American-Islamic Relations (CAIR) dalam satu kenyataan berkata wanita yang memakai niqab itu ditembak beberapa kali ketika meninggalkan pusat beli-belah di Maryland, AS.
- Abang mangsa berkata adiknya terkena tembakan di lengan kiri dan percaya penembak mungkin mensasarkan kepalanya.
- “Jadi dia mula menutup kepalanya dengan bahagian kiri. Dan syukur dia mempunyai cukup kekuatan dan keberanian untuk menunduk dalam keadaan itu,” katanya.
MARYLAND – Seorang wanita Muslim berniqab cedera selepas ditembak beberapa kali di Capitol Heights, Maryland, Amerika Syarikat (AS).
Keluarga wanita itu dan kumpulan advokasi tempatan menyifatkan insiden berkenaan sebagai jenayah kebencian, lapor Fox 45.
Menurut polis, seorang wanita (tanpa mendedahkan identiti wanita terbabit) ditemui dengan kesan tembakan di Richie Road, sejurus sebelum jam 1 tengah hari dan dibawa ke hospital.
Bagaimanapun, wanita berkenaan bernasib baik kerana kecederaan dialaminya tidak mengancam nyawa.
Council on American-Islamic Relations (CAIR) dalam satu kenyataan berkata wanita berkenaan, yang memakai niqab, telah ditembak beberapa kali ketika meninggalkan kawasan pusat beli-belah.
Abang mangsa berkata adiknya terkena tembakan di lengan kiri dan percaya penembak mungkin mensasarkan kepalanya.
“Selepas dia sedar yang dia sedang ditembak dan terkena di lengan kiri, penembak itu seolah-olah mahu menghala ke kepala.
“Jadi dia mula menutup kepalanya dengan bahagian kiri. Dan syukur dia mempunyai cukup kekuatan dan keberanian untuk menunduk dalam keadaan itu,” katanya.
Polis berkata suspek melarikan diri dan siasatan masih dijalankan. – The Merdeka Times