Connect with us

Terkini

Semak imej Jalur Gemilang hasil AI, Elak cemar maruah negara

Published

on

Foto: Jalur Gemilang
  • Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Mohd Sabri Abdullah berkata semakan kualiti perlu dilakukan oleh manusia kerana AI cenderung melakukan kesilapan dalam menghasilkan bahan berpunca daripada kekangan teknologi itu sendiri.
  • Antara kekangan ialah model latihan AI mungkin tidak mempunyai rujukan rasmi yang tepat untuk digunakan dan cenderung menggabungkan pelbagai unsur daripada pelbagai contoh semasa menghasilkan imej.
  • “Teknologi AI adalah satu kemudahan, tetapi kemahiran dan pengetahuan asas manusia tentang protokol dan piawaian rasmi Jalur Gemilang adalah satu keperluan,” katanya.

PUTRAJAYA — Penghasilan bahan visual patriotik terutamanya Jalur Gemilang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) perlu diperiksa dengan teliti bagi menggelakkan sebarang kesilapan yang berpotensi mencabuli simbol kebangsaan serta menjejaskan maruah negara.

Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Mohd Sabri Abdullah berkata semakan kualiti perlu dilakukan oleh manusia kerana AI cenderung untuk melakukan kesilapan dalam menghasilkan bahan berpunca daripada kekangan teknologi itu sendiri.

Beliau berkata antara kekangan ialah model latihan AI mungkin tidak mempunyai rujukan rasmi yang tepat untuk digunakan dan cenderung untuk menggabungkan pelbagai unsur daripada pelbagai contoh semasa menghasilkan imej.

“AI juga berisiko keliru dalam melaksanakan arahan disebabkan arahan (prompt) yang tidak tepat atau kabur…jika arahan kepada AI tidak dinyatakan secara terperinci, AI akan mengisi dengan andaian sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai taklimat media berhubung tatacara penerbitan dan penggunaan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata pembuat karya perlu memeriksa setiap aspek imej Jalur Gemilang yang dihasilkan bagi memastikan sebarang kesalahan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan sebelum penerbitan.

Beliau berkata kesilapan baik dari segi grafik, warna, nisbah, jumlah jalur mahupun orientasi imej boleh menjejaskan maruah negara dan perpaduan rakyat.

“Menyanjung lambang kebesaran negara tidak bermakna menyekat kreativiti tetapi ia menuntut kreativiti yang berprinsip dan bermaruah.

“Teknologi AI adalah satu kemudahan, tetapi kemahiran dan pengetahuan asas manusia tentang protokol dan piawaian rasmi Jalur Gemilang adalah satu keperluan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian (Anugerah dan Persidangan Antarabangsa), Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Azman Ishak mengingatkan orang ramai agar sentiasa mempamerkan Jalur Gemilang mengikut spesifikasi rasmi yang ditetapkan.

Beliau turut menegaskan penggunaan Jalur Gemilang pelbagai gaya, gambar serta bentuk yang diubah secara fizikal untuk mempromosikan sambutan Bulan Kebangsaan adalah tidak
dibenarkan.

“Penggunaan bendera dalam penghasilan logo juga tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam taklimat sama.

Garis panduan mengenai spesifikasi dan etika pengibaran Jalur Gemilang serta simbol kebangsaan lain boleh dirujuk di laman sesawang https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/? product_cat=kenegaraan .

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Pulau Pinang pada 16 Sept.– BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author