Antarabangsa
Laos destinasi pelancongan paling murah di Asia Tenggara untuk 2025
- Menurut laporan majalah Time Out, purata perbelanjaan harian di Laos hanyalah sekitar £12 kira-kira RM70 merangkumi penginapan, makanan dan pengangkutan.
- Bagi perbandingan, purata bajet harian bagi Vietnam dan Kemboja sekitar £15 (RM88).
- Malaysia dan Indonesia sedikit lebih tinggi pada £19 (RM112), manakala Thailand yang terkenal dengan tarikan bajet mencatat sekitar £24 (RM141) sehari, jauh lebih mahal berbanding Laos
Laos kini diiktiraf sebagai destinasi pelancongan paling murah di Asia Tenggara untuk tahun 2025, mengatasi negara-negara popular seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.
Menurut laporan majalah Time Out, purata perbelanjaan harian di Laos hanyalah sekitar £12 kira-kira RM70 merangkumi penginapan, makanan dan pengangkutan.
Pengiktirafan ini sejajar dengan penarafan global oleh Travel and Tour World berdasarkan kajian platform kewangan Kanada, HelloSafe, yang menamakan Laos sebagai negara paling mesra bajet untuk dilawati pada 2025.
Kos perjalanan di Laos kekal rendah di hampir semua aspek.
Penginapan hostel di bandar pelancongan terkenal seperti Luang Prabang dan Vientiane boleh didapati serendah £3 (RM18), manakala di Vang Vieng harganya hanya sekitar £1.50 (RM9).
Hidangan jalanan seperti nasi pulut bersama daging babi panggang berharga kurang daripada £1 (RM5.70).
Pengangkutan tempatan, termasuk bas dan van antara bandar utama, berharga bawah £4.50 (RM26), manakala sewaan motosikal sehari sekitar £4.70 (RM28).
Laluan kereta api baharu Laos-China menawarkan perjalanan indah antara Vientiane dan Vang Vieng dengan harga sekitar £6 (RM35).
Bayaran masuk ke tarikan terkenal seperti Air Terjun Kuang Si dan Pusat Penyelamatan Beruang pula hanya £2.30 (RM14).
Laos sering digambarkan sebagai destinasi tenang dan kurang komersial berbanding pusat pelancongan serantau yang sesak.
Keindahan alam semula jadi seperti sungai, gunung dan air terjun serta pengalaman budaya yang asli menarik minat pelancong yang mahukan kelainan.
Vientiane Times melaporkan ketibaan pelancong antarabangsa meningkat 11 peratus pada suku pertama 2025 kepada lebih 1.2 juta orang, menjana pendapatan pelancongan sebanyak 426 juta dolar.
Bagi perbandingan, Vietnam dan Kemboja kekal murah dengan purata bajet harian sekitar £15 (RM88), Malaysia dan Indonesia sedikit lebih tinggi pada £19 (RM112), manakala Thailand yang terkenal dengan tarikan bajet mencatat sekitar £24 (RM141) sehari, jauh lebih mahal berbanding Laos.-The Merdeka Times