Terkini
PM disaran kukuhkan perpaduan, ambil langkah susulan titah Majis Raja-Raja
Pada Rabu, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dititahkan oleh Majlis Raja-Raja agar prinsip Rukun Negara diketengahkan pada majlis-majlis yang sesuai dengan ikrar dilafazkan oleh pemimpin yang dilantik, bukan lagi belia yang bersuara lantang.
- Kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dititahkan oleh Majlis Raja-Raja agar prinsip Rukun Negara diketengahkan pada majlis-majlis yang sesuai dengan ikrar dilafazkan oleh pemimpin yang dilantik, bukan lagi belia yang bersuara lantang.
- Pemimpin politik mesti berhenti gunakan isu kaum dan agama bagi raih sokongan rakyat menerusi sentimen kebencian terhadap satu sama lain. – Majlis Raja-Raja.
- Aspek perpaduan kaum amat kritikal dalam wujudkan sebuah negara yang stabil dan membawa impak positif pada ekonomi dan kesejahteraan rakyat. – Tokoh sejarah, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
- Kewujudan kelompok tertentu yang masih mudah “tersentuh” apabila hal berkaitan kaum dibangkitkan, menunjukkan ada ruang yang perlu ditambah baik oleh kerajaan agar perkara itu tidak membarah.
KUALA LUMPUR: Pada Rabu, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dititahkan oleh Majlis Raja-Raja agar prinsip Rukun Negara diketengahkan pada majlis-majlis yang sesuai dengan ikrar dilafazkan oleh pemimpin yang dilantik, bukan lagi belia yang bersuara lantang.
Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dalam titah itu menjelaskan ia bagi membuktikan kerajaan serius dalam menjadikan Rukun Negara sebagai asas dan panduan rakyat Malaysia.
Turut diselitkan oleh Majlis Raja-Raja ialah ingatan agar pemimpin politik berhenti menggunakan isu kaum dan agama bagi meraih sokongan rakyat menerusi sentimen kebencian terhadap satu sama lain.
Mengupas pesanan Majlis Raja-Raja itu, tokoh sejarah, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata ia adalah mesej jelas kepada Anwar agar mengambil langkah-langkah susulan yang perlu bagi mengukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini.
Menurutnya, aspek perpaduan kaum amat kritikal dalam mewujudkan sebuah negara yang stabil dan seterusnya membawa impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Saya melihat titah Majlis Raja-Raja dan juga cadangan (penubuhan) kerajaan perpaduan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah kebimbangan disuarakan istana bagi menghentikan segala kemelut hubungan kaum,” kata ilmuwan itu.
Pupuk perpaduan di tadika
Mengulas lanjut, Kok Seong berpandangan, kewujudan kelompok tertentu yang masih mudah “tersentuh” apabila hal berkaitan kaum dibangkitkan, menunjukkan ada ruang yang perlu ditambah baik oleh kerajaan agar perkara itu tidak membarah.
“Apabila kita sebenarnya tidak begitu mengenali sesuatu kaum, maka mudahlah berlaku salah faham, (timbul) defisit kepercayaan, sekali gus membuatkan kita mudah naik darah, melenting apabila ada pihak cuba memainkan isu perkauman,” kata Felow Majlis Profesor Negara itu.
Beliau juga menyifatkan kebersamaan yang dikecapi rakyat sekarang lebih bersifat kesepaduan dan bukannya perpaduan dalam erti kata yang sebenar.
Ini kerana, katanya, apabila perpaduan terbentuk, isu ketidakpercayaan tidak akan timbul sekalipun ada pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen bangsa dan agama.
Mengakui usaha membentuk dan memperkukuh perpaduan itu agak mencabar, Kok Seong berkata, ia tidak mustahil untuk dicapai sekiranya kerajaan pimpinan Anwar memberikan penekanan pada perkara asas, iaitu pendidikan.
“Saya mengharapkan kerajaan pimpinan Anwar melihat usaha penyatuan dilakukan di peringkat tadika, yang mana ketika ini kanak-kanak dipisahkan (daripada bergaul dengan kaum lain) dan keadaan ini berlanjutan hingga mereka ke sekolah rendah.
“Sistem pendidikan yang mengalakkan dan membenarkan pengasingan ini berlaku perlu dilihat kembali kerana inilah halangan utama ke arah mencapai matlamat perpaduan kerana usaha sebegini sepatutnya dari rebung lagi,” ujarnya.
Prinsip Rukun Negara asas perpaduan
Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, melihat titah Majlis Raja-Raja berkenaan sebagai tepat pada masa dalam usaha melahirkan rakyat cemerlang.
“Kita tidak boleh melupakan kepentingan lima matlamat yang terkandung dalam teks penuh Rukun Negara yang meletakkan mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan warganegara sebagai matlamat pertama.
“Kalau kita berpegang teguh prinsip Rukun Negara, saya anggap itu pendekatan paling baik dan betul ke arah membentuk kerajaan perpaduan yang kukuh dan berusaha ke arah keharmonian negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau melihat ada keperluan untuk Anwar mewujudkan satu agensi atau portfolio khas bagi mengukuhkan lagi ikatan kebersamaan rakyat.
Memetik ucapan Anwar yang berkata “anak Melayu, anak Cina, anak Kadazan Dusun, semua anak saya” bersempena Hari Malaysia lalu, Lam Thye berkata, ia perlu dizahirkan oleh Perdana Menteri ke-10 itu menerusi pelantikan pemimpin dari Sabah atau Sarawak untuk menerajui portfolio berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengakui, ancaman media sosial dalam konteks keharmonian kaum apabila ada segelintir pihak yang menjadikan platform itu sebagai alat menyebarkan maklumat tidak benar atau mesej yang berbentuk hasutan kaum.
Sehubungan itu, Lam Thye menasihati pengguna media sosial agar lebih bijak dan matang dalam menilai maklumat serta tidak terbabit dalam penyebaran ideologi berbaur perkauman.
“Aplikasi seperti Facebook, TikTok dan Instagram memberi kesan amat mendalam kepada masyarakat, namun ia juga boleh dimanfaatkan sebagai ejen perpaduan kaum,” katanya.
Kukuhkan pemahaman
Pandangan hampir sama turut dikongsi penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.
Beliau berpendapat pemahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Dasar Keselamatan Negara diperkasakan lagi agar prejudis kaum dapat dikurangkan.
Menurutnya, ada aspek-aspek tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya, perlu didalami sebelum diulas sewenang-wenangnya semata-mata untuk memenuhi agenda tertentu.
Beliau juga berpandangan kerajaan baharu pimpinan Anwar perlu mengenal pasti penyelesaian terbaik dalam menangani permasalahan kaum terbabit.
“Indonesia, mereka menggunakan elemen bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi ejen penyatuan perpaduan kuat dalam kalangan masyarakat mereka.
“Kita boleh lihat betapa bangganya mereka bertutur dalam bahasa Indonesia dan menyebut diri sebagai seorang warga Indonesia. Semua di sana meletakkan elemen perpaduan negara itu merentasi agama dan kaum, dan ini sewajarnya dijadikan contoh,” katanya. – BERNAMA
Sumber: Berita Harian