Komuniti
(VIDEO) Geng Subuh Macam Jumaat LebarRUN dapat sambutan anak muda

KUALA LUMPUR — Program ‘#Geng Subuh Macam Jumaat LebarRUN’ yang diadakan di Surau Hartamas di sini bermula sebelum subuh tadi mendapat sambutan mengalakkan daripada masyarakat Muslim, khususnya kelompok anak muda lelaki.
Penyanyi dan pelakon, Alif Satar yang menjadi pencetus ‘#Geng Subuh Macam Jumaat’ yang digerakkan sejak 2023 menjelaskan objektif terbesar beliau mengadakan kempen itu adalah untuk menyatupadukan ummah dan mengajak lebih ramai anak muda ke masjid untuk menunaikan solat fardhu.
Dalam masa sama, beliau juga ingin menjadikan masjid bukan sahaja sebuah tempat untuk kelompok Muslim mengerjakan ibadah, tapi juga satu pusat komuniti.
“Alhamdulillah, dah dua tahun Geng Subuh Macam Jumaat ni dah dianjurkan, lebih ratusan ribu orang dah turut serta dan orang cakap walaupun kita buat Geng Subuh yang besar macam ni mungkin sebulan sekali tapi kita nak istiqamah dia bila semua yang datang ni, untuk bila mereka kembali ke kawasan masing-masing, dia praktikkan dan teruskan bersama dengan komuniti.
“Alif bersyukur hari ni dapat sambutan daripada semua lepas raya (Aidilfitri) ni untuk Geng Subuh Macam Jumaat LebarRun ni di Surau Hartamas.

Foto : Solat subuh berjemaah (kiri) dan tazkirah subuh daripada Pendakwah, Firdaus Wong.
“Rata-rata (yang hadir hari) ini semua (bersama) ahli keluarga, (komuniti) kawasan Hartamas, ada yang datang daripada Nilai, Bangi, jauh-jauh juga anak-anak muda yang datang ni bukan sahaja solat subuh (tapi juga) dengar tazkirah daripada brother Firdaus Wong dapat input subuh-subuh kemudian kita buat olahraga untuk sihat tubuh badan.
“So kita fit luar dan dalam InsyaAllah,” kata Alif ketika ditemui The Merdeka Times di hadapan Surau Hartamas selepas beliau menamatkan aktiviti larian bersama peserta lain setelah selesai menunaikan solat subuh dan tazkirah.
Turut dilihat menyertai program itu adalah penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir, pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim serta pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang bukan sahaja memberi tazkirah subuh tapi turut berkesempatan mengikuti aktiviti larian bersama Alif.

Foto: Poster #Geng Subuh Macam Jumaat LebarRun.
Sementara itu, penganjur program yang juga Pengerusi Surau Hartamas, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata sambutan diterima hari ini sememangnya baik dan beliau ingin menggalakkan lagi anak muda untuk datang ke surau berkenaan.
Malah, katanya beliau turut memaklumkan kepada Alif supaya mengadakan lagi program sedemikian, seperti LebarRun atau acara lain untuk generasi muda supaya mereka lebih mengenali Surau Hartamas itu.
“Saya rasa memang sangat perlu (program ini diadakan) sebab contoh sayalah, saya pun kadang-kadang datang surau, solat, balik jadi bila ada aktiviti-aktiviti ni, maka kita lepas solat, kita bersembang-sembang, membuat sahabat-sahabat baru.
“Saya rasa ni lebih baguslah dari segi kelainannya dan saya galakkanlah mereka lepas solat, kita bersantai antara satu sama lain,” katanya.

Foto : Datuk Seri Farid Ridzuan (kiri) dan Faizal Tahir (kanan).
Bagi Faizal Tahir pula, program sedemikian sememangnya wajar diadakan dan diikuti semua lapisan masyarakat, namun yang lebih penting bagi beliau adalah berkenaan istiqamah iaitu apa dilakukan dalam program tersebut perlu dilakukan secara berterusan.
“Sebab saya rasa benda ini (program begini) sangat perlu lagi-lagi untuk generasi muda yang zaman sekarang ini terlalu sibuk dengan gadget, dengan teknologi banyak mengejar benda-benda yang kadang-kadang kita pun tak tahu adakah benda itu bagus atau tidak
“Jadi saya harap ini adalah satu gerakan yang boleh kita besarkan lagi, kita boleh expand lagi semoga kita dapat bawa generasi muda, bercampur dengan generasi yang dah lama untuk sama-sama kita buat benda-benda yang baik mengikut sunnah Nabi SAW,” kata Faizal yang turut bersyukur melihat majoriti yang menghadiri ke surau hari ini adalah kelompok muda memandangkan kebiasaan kelihatan warga tua.
Peserta yang juga pelajar dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi, Muhammad Faris M. Faslee pula menyifatkan program terbabit sebagai sangat bagus dan berharap ia diadakan lebih kerap lagi kerana ia bukan sekadar mengajak anak muda solat subuh berjemaah tapi selepas itu mereka juga terus bersenam.
“Saya rasa program ini sangat-sangat bagus dan saya mengajak semua masyarakat supaya join aktiviti yang berfaedah,” katanya yang memasuki kali kedua mengikuti program sedemikian. — The Merdeka Times
