Terkini
(VIDEO) 2 maut selepas kuil beroda gergasi setinggi 100 kaki runtuh
KARNATAKA – Dua orang maut selepas kuil beroda setinggi 100 Kaki runtuh ketika penganut Hindu di Anekal, Karnataka, India sedang melakukan perarakan kuil.
Kejadian yang turut mencederakan beberapa peserta perarakan itu berlaku akibat angin kencang dan hujan lebat.
Mangsa yang terkorban ialah Rohit (26), seorang pemandu teksi dari Tamil Nadu, dan Jyoti (14), seorang penjual bunga dari Bengaluru manakala seorang lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
Dalam satu rakaman video, kuil beroda gergasi itu kelihatan mula condong ke satu sisi sebelum tumbang ke tanah.
Ribuan penganut Hindu yang berkumpul di sekitar kuil beroda bergegas melarikan diri selepas kejadian itu berlaku.
Berikutan kejadian tersebut, pihak berkuasa bertindak menurunkan semua kuil beroda yang masih ada kerana keadaan cuaca yang tidak menentu.
Insiden itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap kegagalan pihak berkuasa tempatan dalam membuat persediaan mencukupi.
Penduduk turut mengkritik pegawai kerajaan kerana tidak melawat lokasi kejadian atau memberikan bantuan kepada keluarga mangsa yang sedang berkabung.
Sebelum ini, kuil beroda Rayasandra juga pernah runtuh semasa perayaan pada tahun 2024, namun tiada kematian dilaporkan ketika itu. – The Merdeka Times
You must be logged in to post a comment Login