Terkini
Pastor sambilan didakwa bunuh ibu, sumbat mayat dalam peti sejuk
- Pastor sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sebelum menyumbat mayat mangsa dalam peti sejuk beku tiga tahun lalu.
- N Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 77, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields di sini antara 21 Mac hingga 26 Mac 2021.
- Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
- Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari tahun depan bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia.
KUALA LUMPUR — Pastor sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya sebelum menyumbat mayat mangsa dalam peti sejuk beku, tiga tahun lalu.
N Deanesh, 53, didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 77, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields di sini antara 21 Mac hingga 26 Mac 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Bagaimapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohammed @ Mohamad Said kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiada ikat jamin diberikan dan mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari tahun depan bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 12 November lalu, BERNAMA melaporkan seorang lelaki ditahan susulan penemuan mayat seorang wanita dalam peti sejuk di sebuah rumah di Taman OUG dekat sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihakya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita berkenaan pada 8.48 pagi sebelum lelaki warga tempatan berusia 53 tahun itu ditahan.
Laporan awal bedah siasat mayat wanita ditemukan dalam peti sejuk beku itu mendapati mangsa meninggal dunia kerana kecederaan pada dada akibat objek tumpul. — The Merdeka Times