Terkini
Dakwaan syarat dan penalti media akan diperketatkan, KDN diminta beri penjelasan — NUJM, CIJ dan GERAMM
- Kementerian Dalam Negeri (KDN) dituntut memberi penjelasan berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 susulan terdapat desas-desus menyatakan syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan.
- Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dalam satu kenyataan bersama berkata berdasarkan maklumat diterima mereka, pindaan dibuat pihak KDN termasuk mengembalikan keperluan pembaharuan lesen (setiap tiga tahun) dan meluaskan takrifan penerbitan, termasuk kandungan digital dan elektronik.
- “Ini menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal.
- “Pindaan terhadap Akta ini juga dikatakan akan memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan penalti yang lebih berat.
- “NUJM, CIJ dan GERAMM memandang serius perkhabaran ini kerana ia dikhuatiri adalah benar dan akan memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta terus mengugat kebebasan media di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan bersama pada Sabtu.
KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) dituntut memberi penjelasan berhubung cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 susulan terdapat desas-desus menyatakan syarat dan penalti bagi media akan diperluas dan diperketatkan di bawah pindaan berkenaan.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (GERAMM) dalam satu kenyataan bersama berkata berdasarkan maklumat diterima mereka, pindaan dibuat pihak KDN termasuk mengembalikan keperluan pembaharuan lesen (setiap tiga tahun) dan meluaskan takrifan penerbitan, termasuk kandungan digital dan elektronik.
“Ini menimbulkan kebimbangan tentang bagaimana platform dalam talian dan kandungan yang dihasilkan pengguna akan dipantau dan dikawal.
“Pindaan terhadap Akta ini juga dikatakan akan memperluas hukuman jenayah dan memperkenalkan penalti yang lebih berat.
“NUJM, CIJ dan GERAMM memandang serius perkhabaran ini kerana ia dikhuatiri adalah benar dan akan memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta terus mengugat kebebasan media di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan bersama di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, mereka menggesa pihak KDN untuk tampil memberi penjelasan dan memaklumkan situasi sebenar berkenaan cadangan pindaan tersebut supaya mereka dapat memberi penjelasan kepada rakan media lain serta memenuhi kepentingan awam.
Ketiga-tiga persatuan itu berkata ini adalah saat kritikal bagi Kerajaan Madani menunjukkan komitmennya terhadap reformasi.
“Seharusnya tidak ada usaha untuk menjejaskan kebebasan media, terutamanya bila kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia.
“Kami menyeru semua pihak untuk sentiasa mengadakan perbincangan bermakna dengan pihak-pihak berkepentingan sebelum mengambil sesuatu keputusan,” katanya. — The Merdeka Times