Komuniti
Tidak ada istilah empat bulan ibu bapa tidak dibenarkan melawat anak dalam rawatan pemulihan! – Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia
Tiada istilah tempoh empat bulan ibu bapa dilarang melawat anak-anak ketika anak mereka menjalankan rawatan di pusat pemulihan.
- Tiada istilah tempoh empat bulan ibu bapa dilarang melawat anak-anak ketika anak mereka menjalankan rawatan di pusat pemulihan. -Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa
- Dalam prinsip rawatan dan pemulihan sokongan keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan penting dalam meningkatkan sisi positif individu yang menjalani proses pemulihan.
- “Dalam proses rawatan ada modul rawatan menggunakan modul psikososial iaitu melibatkan sokongan keluarga, kemudian keluarga boleh sahaja jumpa pada masa yang sesuai.
- Sekiranya pada waktu permulaan pesakit atau anak masih memerlukan kebergantungan namun ketika dalam proses nyah kebergantungan, hanya lebih kurang 14 hari sahaja tidak sampai empat bulan ibu bapa tidak boleh bertemu,”
KUALA LUMPUR – Tiada istilah tempoh empat bulan ibu bapa dilarang melawat anak-anak ketika anak mereka menjalankan rawatan di pusat pemulihan.
Demikian kenyataan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama International), Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berhubung isu sebuah pusat madrasah yang tidak memberi kebenaran kepada ibu bapa melawat anaknya dalam tempoh empat bulan tersebut.
Beliau berkata, dalam prinsip rawatan dan pemulihan sokongan keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan penting dalam meningkatkan sisi positif individu yang menjalani proses pemulihan.
“Dalam prinsip rawatan, ada 13 prinsip rawatan dan antara yang penting ialah sokongan yang datang dari perawat dan orang terdekat (significant others), kalau orang terdekat adalah ibu bapa maka ibu bapa menjadi harapan bagi individu yang sedang dalam pemulihan.
“Hampir semua modul rawatan di dunia ni termasuk rawatan penyalahgunaan dadah memerlukan sokongan daripada ‘significant others’ iaitu orang terpenting, sokongan keluarga adalah penting, dan seharusnya ibu bapa disarankan untuk melawat bagi membantu proses mereka dipulihkan,” katanya kepada The Merdeka Times.
Beliau turut mengulas berkenaan adakah perlu ibu bapa melawat anak-anak ketika masih dalam tempoh permulaan.
“Bagi saya, sebaik-baiknya ditemukan untuk meningkatkan sokongan emosi dan sokongan kebolehan kepada anak tetapi ini bergantung kepada modul yang digunakan, kalau modul agama sekalipun kita gunakan modul ‘pyscho spiritual’ iaitu menggunakan pendekatan agama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pesakit.
“Dalam proses rawatan ada modul rawatan menggunakan modul psikososial iaitu melibatkan sokongan keluarga, kemudian keluarga boleh je jumpa pada masa yang sesuai.
“Sekiranya pada waktu permulaan pesakit atau anak masih memerlukan kebergantungan namun ketika dalam proses nyah kebergantungan, hanya lebih kurang 14 hari sahaja tidak sampai empat bulan ibu bapa tidak boleh bertemu,” katanya.
Dalam pada itu, tambahnya peranan ibu bapa sangat penting dalam setiap perkara yang membabitkan proses pemulihan anak-anak, ia susulan lebih ramai ibu bapa hanya memilih untuk menghantar anak-anak yang berdepan dengan masalah tanpa mengetahui latar belakang sesebuah pusat itu.
“Kerana itu penting ibu bapa melihat terlebih dahulu sijil atau pengiktirafan madrasah atau pusat itu dulu, semua pusat rawatan dan pemulihan perlu mendapatkan akreditasi dan pengiktirafan dari mana-mana agensi agar ibu bapa tidak tertipu,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa setiap pusat rawatan dan pemulihan perlu dikendalikan oleh pihak yang bertauliah iaitu yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman.
“Semua pusat rawatan mesti menyediakan kaunselor yang bertauliah termasuklah pusat rawatan Islam yang memerlukan kaunselor, ‘counselor is vital’ dalam perubatan dan pemulihan, dan pusat itu juga mesti bersedia merujuk ‘clientnya’ kepada doktor perubatan sekiranya didapati ‘clientnya’ mempunyai kecelaruan mental,” katanya.
Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan pendedahan seorang mangsa bekas penghuni madrasah di Jalan Kebun, Shah Alam yang disyaki didera dan dicederakan oleh pihak madrasah susulan keluarganya tidak dibenarkan melawatnya dalam tempoh empat bulan rawatan pemulihan. -The Merdeka Times.