Terkini
Kronisme, kapitalisme Anwar lebih hebat berbanding Tun M – Hassan Karim
- Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim mendakwa Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mulai terjebak dengan amalan kapitalis kroni, sebagaimana ia menjadi kesilapan besar dilakukan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003.
- Hassan berkata yang membezakan kedua-dua pemimpin itu adalah Dr Mahathir membina kapitalis kroni daripada kalangan rakyat biasa, manakala di bawah Anwar mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni di mana terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
- Beliau mengkategorikan kelompok pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir yang kini semakin matang dan berpengalaman.
- Bagaimanapun, Hassan berkata kelompok ketiga kapitalis kroni di zaman Anwar agak luar biasa apabila golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol, bahkan agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi momokan undang-undang bernama 3R (raja, kaum dan agama).
- “Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang undang-undang telah terdedah sekarang ini apabila Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telsco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31% saham equiti syarikat tersebut dikuasai institusi yang dilarang Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim mendakwa Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mulai terjebak dengan amalan kapitalis kroni, sebagaimana ia menjadi kesilapan besar dilakukan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad dari 1981 hingga 2003.
Hassan berkata yang membezakan kedua-dua pemimpin itu adalah Dr Mahathir membina kapitalis kroni daripada kalangan rakyat biasa, manakala di bawah Anwar mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni di mana terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
Beliau mengkategorikan kelompok pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir yang kini semakin matang dan berpengalaman.
Katanya, kelompok itu kini terus wujud mengelilingi serta menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri baharu di mana mereka merupakan pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan.
“Golongan kedua kapitalis kroni di zaman Kerajaan Madani ini belum begitu meluas, belum begitu berani kerana gerak tindaknya sering diperhati.
“Kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan Perdana Menteri adalah pemain kecil, masih amature, yang baru muncul yang tidak ada track record sebagai usahawan berjaya tetapi mendapat peluang dan ehsan dari kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan Perdana Menteri kesepuluh,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini pada Selasa.
Bagaimanapun, Hassan berkata kelompok ketiga kapitalis kroni di zaman Anwar agak luar biasa apabila golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol, bahkan agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi momokan undang-undang bernama 3R (raja, kaum dan agama).
“Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang undang-undang telah terdedah sekarang ini apabila Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telsco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31% saham equiti syarikat tersebut dikuasai institusi yang dilarang Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.