Terkini
UEC tidak boleh diberi layanan sama – Pakar Perlembagaan
- Pusat pengajian yang mengeluarkan UEC tidak boleh membandingkan sijil negara asing dengan sijil UEC kerana mereka mempunyai kewajipan sebagai warganegara Malaysia.
- Pakar Perlembagaan, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata dalam masa sama sistem UEC yang masih gagal memenuhi syarat ditetapkan kerajaan juga tidak boleh diberi layanan sama dengan SPM dan STPM.
- “Sebagai pusat pengajian tempatan, pusat pengajian yang mengeluarkan UEC perlu menjadi ejen untuk membahu (membantu) usaha kerajaan membina jati diri bangsa Malaysia yang menghayati prinsip kedaulatan dan keluhuran perlembagaan,” katanya kepada The Merdeka Times pada Selasa.
- Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui yang di Dewan Rakyat pada Selasa meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf sijil UEC di bawah sistem direct intake tanpa perlu melalui UPU bagi syarat kemasukan ke IPTA.
- Beliau percaya pelajar lepasan UEC berhak dan layak dilayan sama taraf dengan sijil negara asing seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation dengan syarat mereka tidak menerima subsidi kerajaan untuk masuk ke IPTA
KUALA LUMPUR — Pusat pengajian yang mengeluarkan Unified Examination Certificate (UEC) tidak boleh membandingkan sijil negara asing dengan sijil UEC kerana mereka mempunyai kewajipan sebagai warganegara Malaysia.
Pakar Perlembagaan, Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata dalam masa sama sistem UEC yang masih gagal memenuhi syarat ditetapkan kerajaan juga tidak boleh diberi layanan sama dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“UEC perlu memenuhi aspirasi pendidikan yang mampu melahirkan bukan sahaja pelajar pintar tetapi insan yang mampu menterjemahkan intipati sumpah warganegara seperti termaktub dalam Jadual Pertama Perlembagaan.
“Sebagai pusat pengajian tempatan, pusat pengajian yang mengeluarkan UEC perlu menjadi ejen untuk membahu (membantu) usaha kerajaan membina jati diri bangsa Malaysia yang menghayati prinsip kedaulatan dan keluhuran perlembagaan,” katanya kepada The Merdeka Times di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kenyataan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui yang di Dewan Rakyat pada Selasa meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengiktiraf sijil UEC di bawah sistem direct intake tanpa perlu melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi syarat kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau percaya pelajar lepasan UEC berhak dan layak dilayan sama taraf dengan sijil negara asing seperti A-Level, International Baccalaureate (IB), Australian Matriculation dengan syarat mereka tidak menerima subsidi kerajaan untuk masuk ke IPTA. — The Merdeka Times