Antarabangsa
Israel serang tapak warisan dunia UNESCO di Lubnan
- Tentera Israel mengeluarkan perintah pemindahan pada Rabu kepada penduduk Baalbek dan kampung berdekatan Ain Bourday dan Douris di timur Lubnan, mengancam akan melakukan serangan udara ke kawasan yang disifatkan rejim sebagai ‘kepentingan Hizbullah’, lapor QNN.
- Jurucakap Tentera Israel, Avichay Adraee mengeluarkan amaran itu di platform X selain mengarahkan penduduk untuk “meninggalkan kawasan ini dengan serta-merta”.
- Menteri Kebudayaan Lubnan, Mohammad Wissam Mortada mengeluarkan rayuan awam kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa, menyatakan bahawa “warisan budaya Baalbek adalah milik semua manusia, bukan sahaja Lubnan”, menyamakan ancaman Israel dengan tindakan keganasan yang menyasarkan warisan dunia pada masa lalu.
- Sumber keselamatan kemudiannya mengesahkan Israel memulakan siri serangan udara ke atas Baalbek dan kampung sekitarnya di Lembah Bekaa, menyebabkan beribu-ribu penduduk melarikan diri beberapa jam selepas arahan pemindahan.
Tentera Israel mengeluarkan perintah pemindahan pada Rabu kepada penduduk Baalbek dan kampung berdekatan Ain Bourday dan Douris di timur Lubnan, mengancam akan melakukan serangan udara ke kawasan yang disifatkan rejim sebagai ‘kepentingan Hizbullah’, lapor Quds News Network (QNN).
Jurucakap Tentera Israel, Avichay Adraee mengeluarkan amaran itu di platform X selain mengarahkan penduduk untuk “meninggalkan kawasan ini dengan serta-merta”.
Dia turut berkongsi gambar peta kawasan disasarkan tentera rejim Israel, memetik hasrat menyerang apa yang dipanggilnya sebagai ‘aset Hizbullah’ di lokasi itu.
Menteri Kebudayaan Lubnan, Mohammad Wissam Mortada dilaporkan mengecam ancaman itu kerana ia berpotensi merosakkan kubu purba Baalbek, tapak Warisan Dunia UNESCO.
Mortada menghubungi delegasi tetap Lubnan ke UNESCO, merayu agak tapak itu dilindungi daripada serangan rejim Israel.
Beliau turut mengeluarkan rayuan awam kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa, menyatakan bahawa “warisan budaya Baalbek adalah milik semua manusia, bukan sahaja Lubnan”, menyamakan ancaman Israel dengan tindakan keganasan yang menyasarkan warisan dunia pada masa lalu.
Sumber keselamatan mengesahkan Israel memulakan siri serangan udara ke atas Baalbek dan kampung sekitarnya di Lembah Bekaa, menyebabkan beribu-ribu penduduk melarikan diri beberapa jam selepas arahan pemindahan.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata peningkatan jumlah kematian akibat serangan Israel di seluruh Lubnan, kini mencecah 2,729 orang awam, dengan 12,772 yang lain cedera, ketika serangan terus meningkat. – The Merdeka Times