Terkini
(VIDEO) Auto caruman simpanan syariah boleh melanggar Perlembagaan
KUALA LUMPUR — Akaun semua pencarum Muslim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak ditukar secara automatik kepada simpanan syariah kerana boleh menyebabkan pelanggaran dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution Sdn Bhd, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata pelanggaran itu dilihat sebagai diskriminasi kepada orang Islam apabila pihak KWSP meletakkan semua Muslim dalam simpanan syariah, sedangkan sebahagian mereka mungkin tidak mahu.
Beliau berkata tindakan itu kemungkinan boleh menyebabkan masalah undang-undang dan kerana itu pihak KWSP ketika ini tidak boleh menukar akaun pencarum Muslim kepada patuh syariah secara automatik.
“Soalan ni memang soalan yang selalu orang tanya dan ia juga telah dibawa oleh pihak pengurusan EPF sendiri dan juga penasihat syariah tetapi kita telah pun mendapat banyak suggestion dengan firma-firma legal untuk mendapat pandangan-pandangan luar dan juga legal daripada dalam.
“Apakah yang boleh berlaku implikasi kalau itu kita lakukan? Maka jawabnya dia akan boleh ‘mem-trigger’ kepada pelanggaran dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu diskriminasi kepada orang Islam kita bubuh (letak) mereka semua Muslim Islam ini dalam simpanan syariah padahal sebahagian besar, sebahagian mereka mungkin tak mahu jadi kita paksa dia.
“Jadi ini kemungkinan boleh trigger masalah undang-undang… kerana itulah kita tak boleh lagi pada ketika ini (melakukannya) tapi kajian seterusnya masih di dalam perjalanan lagi,” kata Zaharuddin menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus yang bersiaran di platform media sosial The Merdeka Times di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengapa KWSP tidak menukar akaun simpanan patuh syariah secara automatik untuk semua pencarum Muslim.
Program terbitan Studio Merdeka itu membawakan topik, ‘Apa punca 7.2 juta pencarum Muslim KWSP tidak bertukar ke simpanan syariah?’ yang turut menampilkan Pegawai Eksekutif Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Yusry Yusoff dan Perunding Kewangan, Mohamad Rizal Md Desa. — The Merdeka Times
Untuk perkhidmatan bisnes, produk kewangan patuh shariah dan halal, anda boleh melayari laman web www.elzarshariah.com.