Antarabangsa
Trump dahului Harris di 7 negeri penting seminggu sebelum hari pengundian
- Bekas Presiden, Donald Trump mendahului tipis pesaingnya di peringkat nasional 0.1 peratus dan kekal di hadapan di tujuh negeri penting dengan purata 0.9 peratus hanya seminggu sebelum rakyat AS memilih Presiden ke-47 mereka.
- Purata tinjauan laman sesawang RealClearPolitics menunjukkan Trump, calon presiden Parti Republikan dan Naib Presiden, Kamala Harris, calon Parti Demokrat bersaing rapat di peringkat nasional menjelang pilihan raya 5 Nov, lapor Agensi Anadolu.
- Kelebihan Trump paling tipis di Michigan, Wisconsin, Pennsylvania, Nevada dan North Carolina dengan bekas presiden itu mendahului masing-masing dengan 0.1 peratus, 0.3 peratus, 0.5 peratus, 0.7 peratus dan 0.8 peratus. Beliau mendahului 1.5 peratus di Nevada dan 2.3 peratus di Georgia.
- Negeri-negeri ini penting kerana rakyat AS tidak memilih presiden secara langsung sebaliknya, proses ini berlaku melalui Badan Perwakilan Pemilih di mana 538 wakil membuat undian mereka berdasarkan keputusan di negeri masing-masing.
- Mana-mana calon berjaya mendapatkan 270 undi Badan Perwakilan Pemilih akan memenangi pilihan raya.
WASHINGTON — Bekas Presiden, Donald Trump mendahului tipis pesaingnya di peringkat nasional sebanyak 0.1 peratus dan kekal di hadapan di tujuh negeri penting dengan purata 0.9 peratus hanya seminggu sebelum rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih Presiden ke-47 mereka.
Purata tinjauan yang dihimpunkan laman sesawang Real Clear Politics menunjukkan Trump, calon presiden Parti Republikan dan Naib Presiden, Kamala Harris, calon Parti Demokrat bersaing rapat di peringkat nasional menjelang pilihan raya 5 Nov, lapor Agensi Anadolu.
Bagaimanapun, Trump mendahului di negeri-negeri penting yang akan menjadi penentu kepada keputusan perlumbaan itu.
Kelebihan Trump paling tipis di Michigan, Wisconsin, Pennsylvania, Nevada dan North Carolina dengan bekas presiden itu mendahului masing-masing dengan 0.1 peratus, 0.3 peratus, 0.5 peratus, 0.7 peratus dan 0.8 peratus. Beliau mendahului 1.5 peratus di Nevada dan 2.3 peratus di Georgia.
Negeri-negeri ini penting kerana rakyat AS tidak memilih presiden secara langsung. Sebaliknya, proses ini berlaku melalui Badan Perwakilan Pemilih di mana 538 wakil membuat undian mereka berdasarkan keputusan di negeri masing-masing.
Mana-mana calon yang berjaya mendapatkan 270 undi Badan Perwakilan Pemilih akan memenangi pilihan raya. Wakil pemilih diberikan kepada negeri-negeri berdasarkan populasi mereka, dan kebanyakan negeri memberikan semua undi pemilih kepada calon yang memenangi undi popular di negeri berkenaan.
Model “winner-take-all” ini tidak diterapkan di Nebraska dan Maine, yang sebaliknya memperuntukkan undi mereka secara berkadar berdasarkan keputusan akhir.
Menurut laporan, tinjauan yang dijalankan pada Ogos menunjukkan Harris mendahului Trump di Michigan dan Wisconsin, namun kelebihan beliau hilang dalam tempoh dua bulan yang lepas, begitu juga dengan kelebihan sekali beliau di Georgia, Nevada, dan Pennsylvania.
Sekiranya Trump memenangi kesemua tujuh negeri penting itu, beliau akan melebihi jumlah undi pemilih yang diperlukan untuk menang, dengan 312 undi pemilih, meninggalkan Harris dengan 226.
Hakikat bahawa Badan Perwakilan Pemilih yang akhirnya menentukan pemenang perlumbaan presiden telah menyebabkan pemenang kalah dalam undi popular sebanyak dua kali dalam tempoh 25 tahun yang lepas, termasuk kemenangan Trump pada 2016 apabila beliau menerima hampir tiga juta undi kurang daripada bekas Setiausaha Negara, Hillary Clinton.
Lazimnya pemenang presiden diumumkan lewat malam pilihan raya, namun pada 2020, ia mengambil masa empat hari untuk pengumuman pemenang dibuat berikutan margin kemenangan yang sangat kecil di beberapa negeri, termasuk Georgia di mana pihak berkuasa pilihan raya mengarahkan pengiraan semula undi secara manual yang mengambil masa beberapa hari untuk diselesaikan. — BERNAMA-ANADOLU