Terkini
Bendera China: Kibar bendera negara asing perlu sebab kukuh
- Tindakan mengibarkan bendera negara asing perlu memiliki sebab yang kukuh seperti bersolidariti untuk Palestin.
- Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata bendera Palestin dibenarkan untuk dikibarkan kerana ia isu antarabangsa melibatkan penindasan tentera zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak dan orang awam tidak berdosa.
- Jenayah perang itu juga telah terbukti dan mendapat reaksi dan tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
- “Mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara di atas adalah sangat berbeza dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa bersebab.
- “Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab penyertaan negara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
- Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kepada pihak tertentu yang mempersoalkan, kenapa bendera Palestin boleh dikibarkan di Malaysia, tetapi bendera negara China tidak boleh.
KUALA LUMPUR — Tindakan mengibarkan bendera negara asing perlu memiliki sebab yang kukuh seperti bersolidariti untuk Palestin.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata bendera Palestin dibenarkan untuk dikibarkan kerana ia isu antarabangsa melibatkan penindasan tentera zionis dan solidariti masyarakat dunia ke atas serangan kejam hingga membunuh ramai kanak-kanak dan orang awam tidak berdosa.
Beliau berkata jenayah perang itu juga telah terbukti dan mendapat reaksi dan tentangan banyak negara melalui resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Mengibarkan bendera Palestin kerana dua perkara di atas adalah sangat berbeza dengan tindakan segelintir pihak yang mengibarkan bendera asing yang lain tanpa bersebab.
“Saya tidak kata langsung tidak boleh mengibarkan bendera negara asing, tetapi ia perlulah memiliki sebab yang kukuh. Misalnya di kejohanan sukan antarabangsa, sudah tentu ada bendera negara asing yang dikibarkan, atas sebab penyertaan negara tersebut.
“Begitu juga dengan peristiwa atau hari-hari penting yang diraikan seperti ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China. Sudah tentu kita dapat melihat bendera kedua-dua negara dikibarkan secara bersama sebagai simbolik hubungan akrab kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan kepada pihak tertentu yang mempersoalkan, kenapa bendera Palestin boleh dikibarkan di Malaysia, tetapi bendera negara China tidak boleh.
Terdahulu, beberapa video tular di media sosial memaparkan sekumpulan individu dilihat mengibarkan bendera China di kawasan berhampiran Dataran Menara Condong Teluk Intan, Perak sambil bersorak.
Penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia sebelum ini memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China ketika perarakan di Menara Condong Teluk Intan.
Susulan itu, polis pada Jumaat lalu memanggil penganjur untuk dirakam keterangan dan siasatan mendapati perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu turut melanggar syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.
Mengulas lanjut, Choo Seong mempersoalkan motif mengibarkan bendera China di sekolah dan tempat awam seperti insiden berlaku di Teluk Intan.
“Sekiranya betul mereka yang kibarkan bendera asing tu adalah di kalangan warga asing sekali pun, kenapa tidak kelihatan bendera Malaysia yang turut dikibarkan bersama oleh pihak penganjur yang saya yakin adalah di kalangan orang Malaysia?
“Siapa penganjur? Bukankah Teluk Intan itu di Malaysia? Bukankah itu sepatutnya menjadi tanggungjawab dan hasrat setiap warga Malaysia untuk mempromosikan Malaysia, apatah lagi di kawasan-kawasan pelancongan kita sendiri?
“Fikir-fikirkanlah. Ini bukan isu politik atau isu perkauman tetapi ini adalah isu kedaulatan dan sikap segelintir rakyat Malaysia yang masih tidak sedar akan tanggunjawab kita untuk menjunjung martabat dan mempertahankan kedaulatan negara kita sendiri.
“…Bersusah payah nenek moyang kita berjuang bersama-sama memerdekakan negara daripada kuasa penjajah, kenapa pula hari ini kita hendak mengagung-agungkan negara lain selain negara sendiri? Hormat dan semangat setiakawan pun ada batasannya. Jangan sampai kita menggadai maruah dan kedaulatan negara sendiri,” katanya. — The Merdeka Times