Terkini
Undang-undang kekebalan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat wajar dipinda
Undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat wajar dipinda dan ditambah baik.
- Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata ia bagi memastikan Ahli Parlimen menjadi lebih bertanggungjawab khususnya ketika berbahas di Dewan Rakyat dengan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, hasutan dan sebagainya.
- “Saya sangat setuju kerana saya ikut banyak persidangan dalam dunia ini, banyak isu politik tidak dimainkan sangat (di luar negara). Mungkin mereka berdepan isu subsentif (substantif), namun perjalanan debat (perbahasan) itu nampak matang.
- “Tapi kita kadang-kadang gunakan isu subsentif (substantif) itu sebagai platform kita berpolitik. Itu yang nampak tak cantik,” katanya dipetik media tempatan pada Rabu ketika ditemui selepas hadir majlis penutup Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama media di Parlimen.
KUALA LUMPUR — Undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat wajar dipinda dan ditambah baik.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata ia bagi memastikan Ahli Parlimen menjadi lebih bertanggungjawab khususnya ketika berbahas di Dewan Rakyat dengan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, hasutan dan sebagainya.
“Saya sangat setuju kerana saya ikut banyak persidangan dalam dunia ini, banyak isu politik tidak dimainkan sangat (di luar negara). Mungkin mereka berdepan isu subsentif (substantif), namun perjalanan debat (perbahasan) itu nampak matang.
“Tapi kita kadang-kadang gunakan isu subsentif (substantif) itu sebagai platform kita berpolitik. Itu yang nampak tak cantik,” katanya dipetik media tempatan pada Rabu ketika ditemui selepas hadir majlis penutup Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama media di Parlimen.
Johari meminta Ahli Parlimen baik kerajaan dan pembangkang menjadikan pentas Parlimen untuk membahaskan isu yang boleh memberikan kepentingan kepada rakyat.
“Itu sebab kita kena move-lah (berubah) dan sudah tentu, ia bukan keputusan popular (jika pindaan itu dibuat), tapi saya rasa kita move-lah. Fizikalnya kita rasa ok, tapi nampak karakter (sikap tertentu Ahli Parlimen) itu ada yang tak berapa cantik,” katanya.
Dalam pada itu, media melaporkan keistimewaan insititusi Parlimen perlu ditambah baik supaya ahli Parlimen berhak mempertahankan diri daripada sebarang fitnah dilemparkan ke atasnya di dalam Dewan Rakyat.
Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz dilaporkan berkata berdasarkan perkara 63 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan, ia memberi keistimewaan kepada Ahli Parlimen kebal daripada sebarang tindakan meskipun memfitnah wakil rakyat lain, sekali gus menjejaskan kredibiliti Ahli Parlimen difitnah itu.
“Ia harus ditambah baik bagi membolehkan seseorang yang berasa terkesan dengan ucapan prosiding Parlimen menjejaskan reputasi dan mendatangkan fitnah pada dirinya. Saya tidak nyatakan undang-undang itu perlu dimansuhkan kerana saya percaya hak kebebasan bersuara perlu dikekalkan, tetapi tidak melanggar Akta Hasutan seperti mansuhkan institusi beraja.
“Jadi perkara 63 (4) dan (5) ini perlu penambahbaikan bagi meletakkan kepentingan individu lain yang difitnah supaya kes itu boleh dibawa ke mahkamah,” katanya dipetik Utusan selepas program Parlimen Malaysia dan Perlembagaan Negara : isu dan cabaran di Parlimen, semalam. — The Merdeka Times