Connect with us

Terkini

DUN Kedah lulus RUU masukkan mahkamah syariah dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
  • RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pengwujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.
  • “Bagi melaksanakan titah Tuanku Sultan dan menambah baik kedudukan Mahkamah Syariah kerajaan negeri berpandangan penubuhan Mahkamah Syariah wajar diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah, dengan ini Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini,” kata Muhammad Sanusi.
  • Beliau berkata demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, satu lagi lapisan mahkamah perlu diwujudkan dalam struktur Mahkamah Syariah di Kedah iaitu Mahkamah Utama Syariah.
  • “Dengan struktur baharu ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah, kemudian boleh dirayu lagi ke Mahkamah Utama Syariah,” katanya.

ALOR SETAR — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.

RUU itu yang turut merangkumi berkenaan pengwujudan Mahkamah Utama Syariah dibentangkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum dibahas dan diluluskan secara sebulat suara oleh Ahli Dewan.

Muhammad Sanusi ketika membentangkan RUU itu berkata pindaan tersebut adalah selari dengan titah Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum ini yang mencadangkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dengan meletakkan mahkamah itu dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah.

“Sultan Sallehuddin juga menitahkan supaya kerajaan menyemak semula struktur

Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih keadilan kepada pihak yang terbabit.

“Bagi melaksanakan titah Tuanku Sultan dan menambah baik kedudukan Mahkamah Syariah kerajaan negeri berpandangan penubuhan Mahkamah Syariah wajar diletakkan dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah, dengan ini Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata pada masa ini struktur Mahkamah Syariah di Kedah mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Beliau berkata demi menjamin proses keadilan dilaksanakan secara saksama, satu lagi lapisan mahkamah perlu diwujudkan dalam struktur Mahkamah Syariah di Kedah iaitu Mahkamah Utama Syariah.

“Dengan struktur baharu ini, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi Syariah boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah, kemudian boleh dirayu lagi ke Mahkamah Utama Syariah,” katanya.

Pada persidangan semalam, DUN Kedah turut meluluskan secara sebulat suara empat lagi RUU berkaitan hal ehwal perundangan Islam.

RUU tersebut adalah Enakmen Perbelanjaan Negeri Tambahan No.1 Tahun 2024, RUU Enakmen Mahkamah Syariah (Kedah Darul Aman) 2024, Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2024 dan RUU Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2024. — BERNAMA

Author