Terkini
Apakah ‘kekurangan’ farmasi Muslim di sebalik isu panel program bantuan perubatan asnaf LZS?
Kekangan aliran tunai farmasi Muslim dikenalpasti antara faktor kenapa Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik farmasi bukan Muslim sebagai panel atau vendor bagi program bantuan perubatan asnaf membabitkan penggunaan duit zakat.
KUALA LUMPUR — Kekangan aliran tunai farmasi Muslim dikenalpasti antara faktor kenapa Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik farmasi bukan Muslim sebagai panel atau vendor bagi program bantuan perubatan asnaf membabitkan penggunaan duit zakat.
Kekangan itu menyebabkan pihak terbabit gagal membekalkan ubatan dan peralatan perubatan bagi keperluan asnaf, selain alasan sering ‘didendangkan’ bahawa farmasi Muslim lebih mahal dan asnaf lebih memilih farmasi bukan Muslim.
Difahamkan, situasi itu terpaksa dilalui farmasi Muslim kerana LZS sejak tahun lalu didakwa mulai lambat membayar tuntutan (claim) walaupun ia sudah dibuat selepas kelompok asnaf mengambil keperluan mereka di farmasi Muslim terbabit.
Sumber industri memberitahu situasi itu mungkin berbeza dengan farmasi bukan Muslim yang tidak akan terkesan dan mampu bertahan dengan kelewatan LZS kerana mempunyai dana tersendiri dan tidak terlalu bergantung kepada manfaat program bantuan perubatan asnaf tersebut.
“Bila ada masalah cash flow macam ni, non-Muslim ni mereka ada fund dia so mereka (mungkin) tiada masalah untuk nak tunggu claim (daripada LZS) lambat ke apa.
“Tapi farmasi Muslim ni akan ada problem dari segi supply (peralatan/ubatan) kalau claim lambat… So ini mungkin faktor asnaf tu tak seronoklah, tak happy tiba-tiba keperluan mereka disekat.
“Tapi untuk kes macam ni, memang kena bagitahulah (kepada asnaf), farmasi Muslim pun nak hidup juga. Kalau duit claim asnaf ni contohnya banyak, dia akan mengganggu operasi harian lain, bukan bisnes farmasi ini (babitkan) zakat sahaja. Itu faktor tak cukup baranglah,” katanya kepada The Merdeka Times (TMT) di sini, baru-baru ini.
Sumber industri kedua berkata, sekiranya isu farmasi Muslim mahal dijadikan alasan mengapa farmasi bukan Muslim dipilih sebagai panel farmasi, maka LZS sepatutnya menetapkan harga pembekalan barangan atau ubatan yang dimahukan.
“Contohnya susu, dia (LZS) bagi range berapa harga paling mahal farmasi boleh letak ataupun berapa harga paling murah farmasi boleh letak supaya win-win situation.
“Farmasi pun ada untung sikit dan tidak membebankan pihak lembaga zakat untuk membayar.
“Kalau dia kata dia nak ambil harga terendah dah tentu-tentu farmasi Muslim tak boleh bersaing dengan farmasi-farmasi contohnya yang chain, farmasi yang ada banyak cawangan, tak mungkin… memang tak boleh, harga farmasi Muslim jual adalah harga mereka beli,” katanya.
Sumber itu bagaimanapun tidak menafikan ada dalam kalangan farmasi Muslim sendiri, khususnya farmasi ‘junior’, yang tidak memohon menjadi panel kerana enggan berdepan isu dokumentasi.
Situasi itu dilihat menyebabkan lembaga zakat merasakan farmasi Muslim seolah-olah tidak berminat dengan program ditawarkan lalu memberikannya kepada mereka yang lebih berminat dan sanggup memenuhi dokumen diperlukan walaupun banyak kerana melihatnya sebagai ‘lubuk duit’.
Sumber itu berkata ada juga sebahagian farmasi Muslim dilantik menjadi panel dilihat tidak bersungguh-sungguh menjalankan tugas mereka, termasuk dalam usaha mengambil hati kelompok asnaf seperti menghantar barangan atau ubatan ke rumah sedangkan inisiatif sebegitu berjaya menambat hati asnaf dan ia dilakukan farmasi bukan Islam.
“Lepas tu kadang-kadang lagi satu yang saya nampak tak ada inisiatif daripada farmasi Muslim sendiri di mana, dia mengharapkan zakat tu bagi dekat dia asnaf.
“Apa salahnya kalau you, pergilah kepada kariah you paling mudah sekali pergi dekat masjid you, di masjid mesti ada amil, tanya amil tu ada tak antara (individu) yang perlukan bantuan, kita bantu dia macam tu, maksudnya inisiatif tu tak ada. Lepas itu dok marah bila farmasi (bukan Islam) sebelah ni dapat.
“…So saya tak salahkan sangat lah part of zakat tak bagi (farmasi bukan Muslim sebagai panel), farmasi Muslim yang tiada inisiatif, maksud saya bila kita inisiatif cari asnaf, takkan zakat tak lantik kita,” kata sumber itu. – The Merdeka Times