Connect with us

Terkini

Cadangan Ngeh Koo Ham bukan pendirian DAP – Asyraf Wajdi

UMNO membantah cadangan Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk menggubal Undang-undang Islam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Cadangan Ngeh Koo Ham bukan pendirian DAP – Asyraf Wajdi
Foto: Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham (dua dari kiri) & Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tiga dari kiri) & Setiausaha Agong YB, Anthony Loke (dua dari kanan) & Setiausaha Organisasi DAP, YB Steven Sim (kanan).
  • UMNO membantah cadangan Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk menggubal Undang-undang Islam.
  • Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada Khamis menyifatkan cadangan Koo Ham sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata’, malah ia dilihat hanya akan mencetuskan polemik dalam keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.
  • “Saya sudah berhubung terus dengan Setiausaha Agong YB Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi DAP YB Steven Sim. Mereka menyatakan bahawa kenyataan YB Ngeh Koo Ham bukan mewakili pendirian DAP. Mereka berdua setuju dengan pendirian UMNO ini,” katanya menerusi ruang komen hantaran Facebook dimuat naik semalam.
  • Asyraf Wajdi mengulas saranan Koo Ham yang menginginkan Kerajaan Madani melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk menggubal Undang-Undang Islam.

KUALA LUMPUR —  UMNO membantah cadangan Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN (Dewan Undangan Negeri) untuk menggubal Undang-undang Islam.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook pada Khamis menyifatkan cadangan Koo Ham sebagai ‘tidak berpijak di bumi nyata’, malah ia dilihat hanya akan mencetuskan polemik dalam keharmonian rakyat pelbagai agama dan kaum selama ini.

Asyraf Wajdi berkata pandangan Koo Ham turut tidak dipersetujui Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim yang memaklumkan kenyataan tersebut bukan mewakili pendirian parti terbabit.

“Saya sudah berhubung terus dengan Setiausaha Agong YB Anthony Loke dan Setiausaha Organisasi DAP YB Steven Sim. Mereka menyatakan bahawa kenyataan YB Ngeh Koo Ham bukan mewakili pendirian DAP. Mereka berdua setuju dengan pendirian UMNO ini,” katanya menerusi ruang komen hantaran Facebook dimuat naik semalam.

Asyraf Wajdi mengulas saranan Koo Ham supaya Kerajaan Madani melantik pakar perlembagaan bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN untuk menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Parlimen DAP itu berkata dalam mengharmonikan undang-undang syariah dengan Perlembagaan, adalah penting pandangan orang bukan Islam diambil kira supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan kepada orang bukan Islam serta asas negara ini tidak terjejas.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata sejak merdeka Mahkamah Syariah dikhususkan kepada rakyat beragama Islam dan proses menambah-baik serta menaik taraf Mahkamah Syariah dilakukan UMNO ketika menerajui kerajaan sentiasa dibuat secara bertahap dan mengambil kira ruang lingkup kuasa dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. 

Malah sepanjang proses menaik taraf Mahkamah Syariah baik dari segi pentadbiran, kompetensi, emolumen dan penggajian hakim dan pegawai mahkamah syariah, bentuk dan tahap hukuman yang diperuntukkan di bawah kuasa Mahkamah Syariah, tidak pernah sesekali mengambil atau mencabuli hak warga bukan Islam.

“Ini juga sejajar dengan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa mutlak Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai pemelihara dan pelindung kepada kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan; pada masa sama mengiktiraf kebebasan agama-agama lain untuk diamalkan di negara ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata semua pihak perlu memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada Majlis Raja-Raja Melayu dalam menentukan panel-panel yang bakal mengganggotai jawatankuasa itu kelak.

Katanya, apa juga dapatan jawatankuasa itu kelak pastinya akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu selepas diteliti segala aspek yang terkait Perlembagaan.

“Malah jika ada sebarang cadangan yang melibatkan pindaan Undang-undang mahupun Perlembagaan sekalipun, tentu sekali prosesnya akan turut melibatkan Ahli-ahli Parlimen bukan Islam yang punya kuasa untuk membahas, menyokong, meminda mahupun menolak cadangan-cadangan yang terkait dengan penggubalan undang-undang mahupun Perlembagaan,” kata Asyraf Wajdi. — The Merdeka Times

Sumber : Facebook DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Authors

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *