Terkini
Pembangkang gesa kerajaan pinda perlembagaan, perkasa undang-undang syariah
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa kerajaan supaya meminda perlembagaan bagi memperkasa sistem perundangan syariah.
- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa kerajaan supaya meminda perlembagaan bagi memperkasa sistem perundangan syariah.
- Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Dr Idris Ahmad ketika mengulas mengenai perkara ini menegaskan perundangan syariah merupakan hak umat Islam di negara ini yang berhak untuk dipertahankan.
- Pengerusi bersama Sekretariat Gerakan Selamatkan Syariah, Mohd Zai Mustafa pula berharap kerajaan dapat bertindak tegas terhadap pemerkasaan undang-undang syariah ini kerana ia melibatkan bidang kuasa institusi diraja.
PUTRAJAYA- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa kerajaan supaya meminda perlembagaan bagi memperkasa sistem perundangan syariah.
Beliau berkata, usaha itu bertujuan bagi memastikan sistem tersebut tidak digugat dengan perundangan yang lain.
“Saya hari ini memohon kepada kerajaan untuk mempercepatkan bagi meminda perlembagaan semata-mata untuk kita jadikan syariah undang-undang ini sebagai satu-satunya undang-undang yang boleh digubal oleh semua negeri.
“Kita bersama -sama mempertahankan (undang-undang syariah) demi masa hadapan kita semua,” laung beliau kepada orang ramai ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman pada pagi Isnin.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Dr Idris Ahmad ketika mengulas mengenai perkara ini menegaskan perundangan syariah merupakan hak umat Islam di negara ini yang berhak untuk dipertahankan.
Beliau berkata, perhimpunan hari ini bertujuan mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia beragama Islam sebagai solidariti terhadap perundangan Islam.
“Kita harapkan pihak kerajaan untuk mengusulkan (pemindaan) ini. Insyallah, kita di pihak Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk menyokong perkara ini,” katanya semasa ditemui wartawan The Merdeka Times.
Pengerusi bersama Sekretariat Gerakan Selamatkan Syariah, Mohd Zai Mustafa pula berharap kerajaan dapat bertindak tegas terhadap pemerkasaan undang-undang syariah ini kerana ia melibatkan bidang kuasa institusi diraja.
“Saya yakin dan percaya, jika usul ini dibuat oleh kerajaan yang mempunyai dua pertiga majoriti di Parlimen ditambah dicampur dengan (sokongan) ahli Parlimen Melayu Islam yang lain, saya kira ia senang untuk dilepaskan di Parlimen,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Ia berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya. — The Merdeka Times