Connect with us

Terkini

Israel sedia lancar ‘serangan tanpa henti’ untuk musnahkan Palestin

Tentera Israel sedang bersiap sedia melancarkan ‘serangan tanpa henti’ untuk memusnahkan Palestin, kata ketua tenteranya, Leftenan Jeneral Herzi Halevi.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Israel sedia lancar 'serangan tanpa henti' untuk musnahkan Palestin
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Tentera Israel sedang bersiap sedia melancarkan ‘serangan tanpa henti’ untuk memusnahkan Palestin, kata ketua tenteranya, Leftenan Jeneral Herzi Halevi.
  • Halevi berkata Israel tidak berniat untuk menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat, sebaliknya membayangkan pihaknya bersedia melancarkan serangan darat.
  • “Kami mahu memusnahkan Hamas sama sekali. Justeru, kami akan menggerakkan serangan tanpa henti, memusnahkan semua pejuang Hamas dalam apa cara sekali pun.
  • “Kami juga sudah bersedia menjalankan operasi darat di selatan,” katanya yang merujuk selatan Israel bersempadan dengan Gaza.
  • Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, memberi amaran ‘sebarang strategi ketenteraan Israel yang mengabaikan nyawa manusia akan memakan diri’.

GAZA: Tentera Israel sedang bersiap sedia melancarkan ‘serangan tanpa henti’ untuk memusnahkan Palestin, kata ketua tenteranya, Leftenan Jeneral Herzi Halevi.

Pada masa sama, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, memberi amaran ‘sebarang strategi ketenteraan Israel yang mengabaikan nyawa manusia akan memakan diri’.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sejak dua minggu serangan udara Israel, angka kematian di Gaza melebihi 5,087 mangsa termasuk 2,055 kanak-kanak.

Sejak semalam, tentera Israel terus menggempur ruang udara Gaza dengan membedil 320 sasaran termasuk terowong menempatkan pejuang Hamas dan menyerbu kawasan Palestin dihuni orang awam yang terperangkap.

Hampir sejuta penduduk Palestin kini terperangkap di Semenanjung Gaza dalam keadaan mengerikan, hanya menunggu masa menjadi mangsa bedilan tanpa henti Israel.

Halevi, dalam satu kenyataan, berkata Israel tidak berniat untuk menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang berpenduduk padat, sebaliknya membayangkan pihaknya bersedia melancarkan serangan darat.

“Kami mahu memusnahkan Hamas sama sekali. Justeru, kami akan menggerakkan serangan tanpa henti, memusnahkan semua pejuang Hamas dalam apa cara sekali pun.

“Kami juga sudah bersedia menjalankan operasi darat di selatan,” katanya yang merujuk selatan Israel bersempadan dengan Gaza.

Tambah beliau, tentera Israel sedang melakukan pertimbangan taktikal dan operasi strategik yang memberikan anggotanya lebih banyak masa membuat persediaan.

Di mata dunia, AS menekankan hak Israel untuk mempertahankan tenteranya tetapi dua sumber yang mengetahui perkara itu berkata Rumah Putih, Pentagon dan Jabatan Negara AS, menggesa Israel lebih berhati-hati dalam tindakannya.

Kata sumber, susulan pembebasan tebusan semalam, keutamaan AS sekarang ialah memanjangkan masa rundingan untuk membolehkan tebusan lain dibebaskan.

Dalam pada itu, Obama, yang jarang memberi komen mengenai krisis dasar luar, mengeluarkan kenyataan bertulis memberi amaran supaya Israel tidak menyebabkan lebih ramai orang awam terkorban dalam tindakan balas terhadap Hamas.

“Sudah beribu-ribu rakyat Palestin terbunuh akibat pengeboman di Gaza, terutama kanak-kanak. Ratusan ribu penduduk lain dipaksa meninggalkan kediaman mereka,” kata Obama dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Obama berkongsi kenyataannya dengan Biden, yang juga naib presidennya ketika beliau menjadi Presiden AS.

Setakat ini, Rumah Putih tidak mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung kenyataan dikeluarkan Obama.

“Keputusan Israel memotong bekalan makanan, air dan elektrik kepada penduduk awam yang ditawan hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang semakin meningkat.

“Ia boleh meningkatkan permusuhan Palestin terhadap Israel selama beberapa generasi dan menghakis sokongan global terhadap Israel.

“Ini sudah tentu akan dimanfaatkan musuh Israel, sekali gus menjejaskan usaha jangka panjang bagi mencapai keamanan dan kestabilan di rantau itu,” tulisnya dalam kenyataan yang diterbitkan dalam ‘Medium’.

Namun, Obama turut mengutuk serangan Hamas dan mengulangi sokongannya terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *