Connect with us

Terkini

(VIDEO) Peniaga ‘terputus’ bekalan beras SST sejak enam bulan lalu

Majoriti kedai runcit dan pasar raya di ibu negara mengalami kekurangan dan kehabisan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) sejak tiga hingga enam bulan lalu.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Peniaga ‘terputus’ bekalan beras SST sejak enam bulan lalu
Foto: Antara peniaga kedai runcit yang terputus bekalan beras SST.
  • Majoriti kedai runcit dan pasar raya di ibu negara mengalami kekurangan dan kehabisan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) sejak tiga hingga enam bulan lalu.
  • Tinjauan The Merdeka Times di beberapa premis perniagaan di sini mendapati beras SST 10 kilogram (kg) dan 5kg sukar diperoleh atau kuantitinya dilihat berkurangan susulan tidak mendapat bekalan daripada pembekal.
  • Pengarah Syarikat Ain Maju Sdn Bhd, Abdul Hamid Abdullah berkata pihaknya tidak lagi menerima bekalan beras SST sejak enam bulan lalu.
  • “Kami tiada (beras SST), sudah lama jugalah dalam 6 bulan. Kami tidak dapat bekalan daripada supplier, dia stop supply dia kata demand tak dapat harga naik macam-macamlah dia punya alasan kan,” katanya kepada The Merdeka Times.
  • Situasi sama turut dihadapi pemilik Kedai Runcit Taqwa Ameera Market, Mohd Washim Nasir yang ditemui di Ampang Jaya, memaklumkan perniagaannya berdepan kerugian berikutan pelanggan tidak lagi membuat pembelian seperti sebelum di mana pelanggan kebiasaannya membeli beras 5kg, namun hari ini lebih memilih beras 1 kg dengan harga murah.
  • Pengurus Go Go Grocer di Desa Setapak dikenali sebagai Stella pula memberitahu, setakat hari ini, pihaknya hanya mempunyai bekalan beras import sahaja.

KUALA LUMPUR — Majoriti kedai runcit dan pasar raya di ibu negara mengalami kekurangan dan kehabisan stok bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Tinjauan The Merdeka Times di beberapa premis perniagaan di sini mendapati beras SST 10 kilogram (kg) dan 5kg sukar diperoleh atau kuantitinya dilihat berkurangan susulan tidak mendapat bekalan daripada pembekal.

Bagaimanapun, bekalan beras putih import Super Spesial Import (SSI) dan import berkualiti tinggi seperti beras wangi, perang dan basmati masih memenuhi rak di permis dengan harga paling rendah RM15 dan ke atas untuk 5 kg serta RM33.50 ke atas untuk 10 kg.

Pengarah Syarikat Ain Maju Sdn Bhd, Abdul Hamid Abdullah berkata pihaknya tidak lagi menerima bekalan beras SST sejak enam bulan lalu.

“Kami tiada (beras SST), sudah lama jugalah dalam 6 bulan. Kami tidak dapat bekalan daripada supplier, dia stop supply dia kata demand tak dapat harga naik macam-macamlah dia punya alasan kan.

“Kebanyakan di sini beras import dan kami telah pun untuk memudahkan rakyat jadi kami jual contoh harga beras tertera dekat sini sebanyak 5kg RM20.50 tapi kami jual lebih rendah daripada harga ini, kami jual RM17 satu pek.

“Kami sebenarnya nak berkhidmat kepada rakyat saja sebenarnya, tiada pun nak ambil untung di sini disebabkan tidak dapat beras tempatan jadi rakyat pun susahlah nak dapat beras, setiap kali pelanggan datang dia kata ‘susah nak cari beras’, jadi saya ambil inisiatif ambil beras import dan jual pada harga saya mampulah,” katanya ketika ditemui wartawan The Merdeka Times di Taman Sri Rampai di sini hari ini.

Foto : Abdul Hamid Abdullah,  Pengarah Syarikat Ain Maju Sdn Bhd ketika ditemui pemberita di premis perniagaannya.

Hamid yang mempunyai 12 tahun pengalaman berniaga berkata, ketika ini pihaknya berdepan penurunan jualan dengan anggaran hampir 30 peratus disebabkan isu beras serta barangan lain seperti telur dan minyak paket yang tiada di pasaran.

Situasi sama turut dihadapi pemilik Kedai Runcit Taqwa Ameera Market, Mohd Washim Nasir yang ditemui di Ampang Jaya, memaklumkan pihaknya tidak mempunyai langsung bekalan beras SST sejak lebih tiga bulan lalu.

Mohd Washim berkata perniagaan dia berdepan kerugian berikutan pelanggan tidak lagi membuat pembelian seperti sebelum di mana pelanggan kebiasaannya membeli beras 5kg, namun hari ini lebih memilih beras 1kg dengan harga murah.

Foto : Mohd Washim Nasir,  pemilik Kedai Runcit Taqwa Ameera Market ketika ditemui pemberita di premis perniagaannya

“Itu (beras SST) memang tiada stok, daripada lima supplier tau. Semua supplier pun buat masa ni tidak ada walaupun sedikit sahaja 100 hingga 200 pack selalu, 10 (bungkusan) pun diorang takkan bagi. Memang semua dah tukar pergi import.

“(Harga) Beras lagi akan naik tau sebenarnya… Mungkin dalam dua hingga tiga minggu akan naik sebab India pun dah berhentikan (eksport beras) jadi supplier pun dah inform kita beras import pun akan kurang,” katanya.

Katanya, pihaknya menjual beras lebih rendah daripada harga runcit ketika ini, namun sekiranya ada kenaikan harga beras maka berkemungkinan selepas ini jualan beras akan dibuat mengikut harga runcit sebagaimana tertera di setiap bungkusan beras.

Pengurus Go Go Grocer di Desa Setapak dikenali sebagai Stella pula memberitahu, setakat hari ini, pihaknya hanya mempunyai bekalan beras import sahaja di premis itu.

“Kami dapat stock semakin kurang, saya cakap dengan pembekal dia cakap memang beras sekarang susah dapat lepas itu harga beras pun banyak tinggi sekarang.

“Supplier cakap kerana cuaca tentang ulat sebagainya so that’s why kami pun no choice kerana cuaca tapi actually saya tak pastilah memang cuaca punya isu ke apa.

“Mereka (pelanggan) complain kenapa banyak susah nak dapat dan kami pun tak boleh jawab apa kerana memang tak boleh dapat sekarang,” katanya yang baru memulakan perniagaan di kawasan itu.

Foto : Stella (kanan) Pengurus Go Go Grocer di Desa Setapak menunjukkan bekalan beras di premisnya kepada pemberita.

Stella turut berharap sekiranya isu bekalan beras SST ini dapat diselesaikan, maka harga dikenakan tidak terlalu tinggi kerana dikhuatiri pelanggan tidak mampu membelinya, sekali gus menyukarkan peniaga membuat jualan.

Untuk rekod, beras SST ialah beras tempatan yang memiliki gred beras hancur lima peratus dan dikawal kerajaan iaitu RM13 (5kg) dan RM26 (10kg), manakala SSI dan beras import harganya lebih mahal dan tidak dikawal kerajaan. — The Merdeka Times

Authors

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *