Terkini
Wartawan Kanan tidak setuju SKMM bertindak sebagai ‘Big Brother’
Lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
- Lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
- Mereka dalam kenyataan bersama hari ini meluahkan kebimbangan itu apabila MCMC sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
- “Kami sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai “big brother” (abang besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian,” katanya.
- Kenyataan itu dikeluarkan Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
- Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
- Kumpulan itu berkata kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat bebas dan untuk menjamin kebebasan media.
KUALA LUMPUR: Lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Mereka dalam kenyataan bersama hari ini meluahkan kebimbangan itu apabila MCMC sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.
“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti MCMC untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian.
“Kita sudah lihat bagaimana kerajaan terdahulu, walaupun hanya kerana aduan kecil daripada orang ramai atau pihak elit pemerintah, sudah diambil tindakan dengan pantas walaupun tindakan seumpama itu tidak perlu sama sekali.
“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai “big brother” (abang besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
Dalam pada itu, kumpulan itu berkata kerajaan pada hari ini dipilih atas janji untuk membolehkan pengaliran maklumat yang bebas dan untuk menjamin kebebasan media.
“Aduan daripada pengamal media bahawa laman sesawang mereka sudah disekat semakin meningkat. Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta merta.
“Kami percaya bahawa badan pengawal selia terbabit mempunyai keutamaan yang lain dan disebabkan itu menyekat laman sesawang bukanlah salah satu daripadanya.
“Walaupun kami memahami internet menjadi pencetus kebencian dan penyebar maklumat yang salah, kami percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin dipandu oleh profesionalisme dan etika,” katanya.
Pada masa sama mereka mengakui media sosial yang tidak terkawal memang akan menjadi masalah dan maklumat salah dan berita palsu sudah sampai pada tahap krisis.
“Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini. Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih,” katanya.
Sumber: Berita Harian