Terkini
Individu masih sebar video nahas akan diambil tindakan – Ayob Khan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang masih menyebarkan video berkenaan nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang masih menyebarkan video berkenaan nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
- Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak yang menularkan video berkenaan bermula hari ini akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
- Kata beliau, perasaan dan privasi ahli-ahli keluarga semua mangsa yang terlibat dengan nahas pesawat tersebut perlu dijaga.
- “Saya rasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pun sudah mengeluarkan kenyataan dan ini kenyataan daripada pihak polis, ada lagi kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini semalam.
GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang masih menyebarkan video berkenaan nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak yang menularkan video berkenaan bermula hari ini akan diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Kata beliau, perasaan dan privasi ahli-ahli keluarga semua mangsa yang terlibat dengan nahas pesawat tersebut perlu dijaga.
“Saya menyeru semua masyarakat jangan menularkan benda-benda ini (video nahas). Hormatilah privasi keluarga mangsa yang terlibat.
“Tak tahulah nak mencari banyak follower (pengikut), saya tidak tahu tapi kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 233 kalau ada lagi (yang menyebarkan video tersebut).
“Saya rasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pun sudah mengeluarkan kenyataan dan ini kenyataan daripada pihak polis, ada lagi kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di sini semalam.
Ayob Khan hadir ke tanah perkuburan tersebut bagi memberi penghormatan terakhir kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang maut dalam nahas pesawat tersebut.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Ayob Khan berkata, setakat ini tiga orang individu yang terlibat dalam menularkan video berkenaan nahas tersebut sudah hadir memberi keterangan.
Sementara itu ketika ditanya berkenaan punca nahas pesawat tersebut, Ayob Khan berkata, siasatan akan diteruskan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) bagi mengenal pasti punca.
Jelasnya, siasatan pihak polis melibatkan pengecaman mayat sudah pun selesai.
“Siasatan lanjut nahas kita serah kepada BSKU, itu kita tidak terlibat siasatan.
“Proses siasatan kita dah habis dan semua jenazah sudah dituntut. Kita dah buat padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan Ketua Polis Selangor juga dah keluar kenyataan semalam,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia