Connect with us

Terkini

Sekolah khas pelajar miskin beri keadilan dalam pendidikan 

Projek rintis pembinaan sekolah khas bagi pelajar keluarga miskin di negara ini pada tahun hadapan, dapat memberi keadilan pendidikan kepada semula pelajar.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Sekolah khas pelajar miskin beri keadilan dalam pendidikan 
Foto: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom.
  • Projek rintis pembinaan sekolah khas pelajar keluarga miskin di negara ini pada tahun hadapan, dapat memberi keadilan pendidikan kepada semula pelajar.
  • Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, ini kerana ketika ini masih ramai pelajar terutama di luar bandar dan pedalaman tidak mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya seperti di bandar besar.
  • “Jadi saya menyokong penuh cadangan dikemukakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana usaha ini akan memberikan keadilan dalam bidang pendidikan,” katanya. 
  • Alimuddin berharap, sekolah itu nanti akan memberikan kemudahan sewajarnya kepada pelajar seperti kemudahan asrama yang lengkap, makanan berzat, bilik darjah, makmal komputer, guru terlatih dan padang permainan.
  • “Jadi bagi saya tidak akan timbul soal kaya atau miskin kerana pembinaan sekolah khas ini tidak akan menjejaskan orang kaya kerana hasrat menteri hanya mahu membantu pelajar golongan miskin mendapat peluang pendidikan,” katanya.

KUALA LUMPUR: Projek rintis pembinaan sekolah khas bagi pelajar keluarga miskin di negara ini pada tahun hadapan, dapat memberi keadilan pendidikan kepada semula pelajar.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, ini kerana ketika ini masih terdapat ramai pelajar terutama di luar bandar dan pedalaman tidak mendapat kemudahan pendidikan yang sewajarnya seperti di bandar besar.

Katanya, ia termasuk kekurangan daripada segi bekalan elektrik, air, kemudahan untuk ke sekolah dan peralatan untuk pembelajaran yang terhad.

“Jadi saya menyokong penuh cadangan dikemukakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kerana usaha ini akan memberikan keadilan dalam bidang pendidikan.

“Dengan kemudahan yang terhad, jadi sudah semestinya pelajar ini perlu diberi peluang pendidikan yang sama kerana saya yakin mereka juga boleh cemerlang di dalam pelajaran,” katanya kepada BH, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperhalusi mekanisme terbaik dalam usaha merealisasikan projek rintis sekolah khas bagi pelajar keluarga paling miskin di negara ini, yang dijangka dibina awal tahun depan.

Fadhlina dilaporkan berkata, mekanisme itu seterusnya mungkin dijadikan model khas dalam pembinaan sekolah untuk golongan pelajar miskin, sekali gus dapat mengatasi isu keciciran.

Beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan terhadap kriteria yang berkait rapat dengan isu kemiskinan, bantuan dan keadaan yang akan memberikan sokongan kepada ekosistem keseluruhan sekolah itu nanti.

Mengulas lanjut, Alimuddin berharap, sekolah itu nanti akan memberikan kemudahan yang sewajarnya kepada pelajar seperti kemudahan asrama yang lengkap, makanan berzat, bilik darjah, makmal komputer, guru terlatih dan padang permainan.

“Bagi saya dengan adanya sekolah itu nanti, pelajar bukan sahaja boleh berjaya sama seperti rakan di bandar, tetapi turut dapat mengubah nasib diri dan keluarga di masa akan datang,” katanya.

Ditanya sama ada sekolah berkenaan akan mewujudkan kasta pendidikan, beliau yakin ia sama sekali tidak akan berlaku.

Katanya, ini kerana sekolah berkenaan memang sudah dikhaskan kepada mereka yang layak sahaja iaitu miskin dan kurang berkemampuan.

“Golongan elit sudah ada sekolah dengan kemudahan lengkap dan kewangan yang baik tetapi anak-anak kurang berkemampuan ini akan terabai jika tidak diberikan kemudahan kepada mereka.

“Jadi bagi saya tidak akan timbul soal kaya atau miskin kerana pembinaan sekolah khas ini tidak akan menjejaskan orang kaya kerana hasrat menteri hanya mahu membantu pelajar golongan miskin mendapat peluang pendidikan,” katanya.

Alimuddin juga yakin, dengan kerjasama pelbagai pihak seperti guru besar, ketua kampung dan pegawai daerah, pelajar miskin yang minat dalam pelajaran pasti akan dapat dikesan dan seterusnya diberi peluang kepada mereka.

Katanya, ia selaras dengan hasrat menteri yang mahu memberikan peluang pendidikan kepada mereka yang layak.

“Oleh itu, pada pandangan saya sudah sampai masanya kita melihat pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mendapat kemudahan pendidikan, diberi peluang selayaknya.

“Saya amat yakin mereka ini mempunyai potensi dalam pelajaran cuma ketika ini tiada peluang dan dengan adanya sekolah itu nanti, ia dapat memberi keadilan dalam pendidikan kepada seluruh rakyat,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik ketika dihubungi berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pembinaan sekolah khas berkenaan.

Sebaliknya, beliau menjelaskan tidak adil baginya membuat sebarang komen tanpa melihat data terkini, model dan juga perancangan KPM.

“Saya yakin pihak kerajaan mempunyai sebab yang rasional berdasarkan fakta dalam membuat keputusan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *