Connect with us

Terkini

PM harap kempen PRN berjalan sopan, beradab

Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan perjalanan Hari Penamaan Calon di enam negeri yang disifatkannya berjalan amat baik dan teratur.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

PM harap kempen PRN berjalan sopan, beradab
Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah).
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan perjalanan Hari Penamaan Calon di enam negeri yang disifatkannya berjalan amat baik dan teratur.
  • Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap perjalanan kempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula hari ini, dapat berjalan dengan sopan dan beradab.
  • “Saya tengok proses (Hari Penamaan Calon) aman, teratur dan calon kemukakan dengan baik dan insyaAllah kita adakan kempen dengan cara tersusun, sopan dan beradab,” katanya ditemui media selepas bersarapan di sebuah restoran di sini hari ini.

AMPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan perjalanan Hari Penamaan Calon di enam negeri yang disifatkannya berjalan amat baik dan teratur.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap perjalanan kempen selama 14 hari bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bermula hari ini, dapat berjalan dengan sopan dan beradab.

“Saya tengok proses (Hari Penamaan Calon) aman, teratur dan calon kemukakan dengan baik dan insyaAllah kita adakan kempen dengan cara tersusun, sopan dan beradab,” katanya ditemui media selepas bersarapan di sebuah restoran di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan utama Kerajaan Perpaduan khususnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut serta hari ini.

“Saya ucap terima kasih juga dengan kehadiran Premier Sarawak, Abang Jo (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memberikan sokongan sebaiknya kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Terdahulu, Anwar yang diiringi Johari dan Hajiji meninjau proses penamaan calon di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Gombak membabitkan DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak.

Kemudian, tinjauan diteruskan ke Bangunan Majlis Perbandaran Selayang membabitkan pencalonan DUN di bawah Parlimen Selayang dan terakhir, DUN di Parlimen bertempat di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang, di sini.

PRN yang membabitkan enam negeri bermula pagi tadi dengan 173 pusat penamaan calon dibuka bermula 9 pagi dan berakhir jam 10 pagi.

Selain 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan di enam negeri itu, turut diadakan ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu setelah kerusi berkenaan diisytihar kosong berikutan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim daripada PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi PRN dan PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala pengundian awal pada 8 Ogos.

Berdasarkan statistik SPR, seramai 9,773,571 pemilih berdaftar layak mengundi pada PRN enam negeri itu dengan Selangor seramai 3,747,057 pengundi, Kedah (1,585,085), Kelantan (1,411,912), Pulau Pinang (1,234,198), Terengganu (930,894) dan Negeri Sembilan (864,425).

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *