Antarabangsa
Gagal kuatkuasa peraturan hijab ke atas pelanggan, kakitangan bank ditahan
Pengurus dan seorang pekerja sebuah bank ditahan di wilayah Tehran kerana didakwa gagal menguatkuasakan undang-undang wajib bertudung ke atas pelanggannya, ketika tindakan tegas pelanggaran kod berpakaian di Republik Islam Iran diperketatkan.
- Pengurus dan seorang pekerja sebuah bank ditahan di wilayah Tehran kerana didakwa gagal menguatkuasakan undang-undang wajib bertudung ke atas pelanggan, ketika tindakan tegas pelanggaran kod berpakaian di Republik Islam Iran diperketatkan.
- Menurut pendakwa raya bandar Damavand, Morteza Tahmasbi, kedua-dua yang ditahan “tidak menghiraukan” syarat wajib berhijab dan menawarkan perkhidmatan kepada seorang wanita yang tidak berhijab.
- “Sekiranya seorang wanita tanpa hijab ‘tidak menghiraukan amaran awal dan terus melanggar peraturan, maka polis harus segera dimaklumkan’,” kata Morteza.
Pengurus dan seorang pekerja sebuah bank ditahan di wilayah Tehran kerana didakwa gagal menguatkuasakan undang-undang wajib bertudung ke atas pelanggannya, ketika tindakan tegas pelanggaran kod berpakaian di Republik Islam Iran diperketatkan.
Menurut pendakwa raya bandar Damavand, Morteza Tahmasbi, kedua-dua yang ditahan “tidak menghiraukan” syarat wajib berhijab dan menawarkan perkhidmatan kepada seorang wanita yang tidak berhijab.
“Sekiranya seorang wanita tanpa hijab ‘tidak menghiraukan amaran awal dan terus melanggar peraturan, maka polis harus segera dimaklumkan’,” kata Morteza dipetik Iran Wire.
“Dalam kes sedemikian, polis bertanggungjawab untuk bertindak balas dengan segera dan mendokumentasikan kejadian di lokasi,” katanya.
Dalam tindakan menentang ideologi dan undang-undang Republik Islam Iran, semakin ramai wanita tampil di khalayak ramai tanpa berhijab sejak protes di seluruh negara tercetus pada September tahun lalu.
Beberapa wanita ingkar telah ditangkap, disaman pihak berkuasa dan menghadapi kes undang-undang, manakala ratusan perniagaan kecil dan pusat beli-belah ditutup kerana dikatakan gagal menguatkuasakan peraturan hijab ke atas pelanggan.
Terdahulu, seorang pemandu teksi didenda kerana membawa wanita tanpa hijab, manakala polis dan sukarelawan mengeluarkan amaran di kereta api bawah tanah, lapangan terbang dan tempat awam lain.
Awal bulan ini, rondaan polis moral Iran kembali ke jalanan di bandar-bandar Iran untuk menguatkuasakan undang-undang wajib berhijab itu.
Sumber: Iran Wire