Terkini
Wajibkan GDL untuk jamin keselamatan penunggang p-hailing
Pindaan tiga akta pengangkutan menyaksikan penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan & barangan (p-hailing) diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL), lapor Sinar Harian pada Isnin.
- Pindaan tiga akta pengangkutan menyaksikan penunggang (p-hailing) diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL).
- Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang dibentangkan pada sesi akan datang turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.
- Secara dasarnya kabinet telah bersetuju dengan kesemua draf pindaan RUU yang membolehkan MOT mengawal selia ekonomi gig dengan baik.
- “Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekaligus menjamin keselamatan penunggang,” – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
- “Kita minta wakil daripada p-hailing, pengendali p-hailing (PHO) dan lain turut serta dalam libat urus ini kerana di dalam ekonomi gig ini semua pihak perlu merapatkan saf.”
PUTRAJAYA – Pindaan tiga akta pengangkutan menyaksikan penunggang motosikal khidmat penghantaran makanan & barangan (p-hailing) diwajibkan memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL), lapor Sinar Harian pada Isnin.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang dibentangkan pada sesi akan datang turut membabitkan had umur penunggang p-hailing diturunkan daripada umur 21 kepada 18 tahun.
“Secara dasarnya kabinet telah bersetuju dengan kesemua draf pindaan RUU tersebut,” katanya.
Menurutnya, GDL amat penting kerana ia membolehkan MOT mengawal selia ekonomi gig dengan baik.
“Kita bukan mahu membebankan penunggang p-hailing, kursus pengambilan lesen GDL ini akan mendedahkan mereka mengenai undang-undang dan peraturan ditetapkan sekaligus menjamin keselamatan penunggang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan wakil penunggang p-hailing di kementeriannya, semalam.
Beliau berkata, had umur diturunkan adalah bagi membolehkan ekonomi gig bersaing dengan lebih kompetitif.
“Kerajaan melihat penghantar makanan ini merupakan punca rezeki yang penting. Selagi ada Lesen Memandu Kompeten (CDL), mereka boleh mohon GDL. Semua agensi kementerian telah diarahkan untuk mengadakan libat urus dengan pemegang taruh.
“Kita minta wakil daripada p-hailing, pengendali p-hailing (PHO) dan lain turut serta dalam libat urus ini kerana di dalam ekonomi gig ini semua pihak perlu merapatkan saf,” katanya.
Menyentuh mengenai sesi dialog bersama p-hailing, Ka Siong berkata, PHO perlu meningkatkan komunikasi dengan penunggang bagi mengelakkan berlakunya pertikaian.
“Saya lihat mereka tidak faham cara pengiraan PHO. Contohnya Jun, ada (pembayaran) yang tidak dikira dan kesilapan teknikal ini menjurus kepada apa yang telah berlaku (mogok),” katanya.
Sementara itu, pada perkembangan lain, beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Bahagian Darat MOT telah diarahkan untuk duduk berbincang dengan komuniti penghantaran (e-hailing) dan pengendali e-hailing (EHO) duduk berbincang.
“Mereka diberi masa tiga bulan untuk panggil semua pemegang taruh sebab saya lihat dari surcaj mereka tidak faham. Jika ada dasar, ia perlu disemak,” ujarnya.
Sumber : Sinar Harian