Terkini
Iktiraf SKM setaraf SPM – Zahid Hamidi
Kerajaan berhasrat mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pemegang sijil berkenaan.
- Kerajaan berhasrat mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pemegang sijil berkenaan.
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kertas dasar berhubung perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, tidak lama lagi.
- “Oleh kerana kita mempunyai sijil yang akan dikeluarkan iaitu SKM, kertas dasar akan dibawa ke Kabinet untuk menentukan bahawa sijil ini akan turut diiktiraf sebagai sijil yang sama taraf atau pun lebih tinggi daripada sijil SPM,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Portal Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pertukaran Memorandum Kerjasama di sini, hari ini.
- Ahmad Zahid berkata, beberapa perubahan dasar dirancang bertujuan memperkasakan sektor TVET di negara ini.
PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pemegang sijil berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kertas dasar berhubung perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, tidak lama lagi.
“Oleh kerana kita mempunyai sijil yang akan dikeluarkan iaitu SKM, kertas dasar akan dibawa ke Kabinet untuk menentukan bahawa sijil ini akan turut diiktiraf sebagai sijil yang sama taraf atau pun lebih tinggi daripada sijil SPM.
“Dalam tempoh dua minggu dari sekarang (akan bawa kertas dasar untuk dibincangkan dalam Kabinet),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Portal Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pertukaran Memorandum Kerjasama di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selain SKM, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, beberapa perubahan dasar dirancang bertujuan memperkasakan sektor TVET di negara ini.
Katanya, ia penting bagi menyelaraskan bidang tertentu supaya semua pihak tidak lagi berfikir secara ‘silo’, sebaliknya melakukan koordinasi dengan lebih baik.
“Bukan sahaja bertujuan mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga kerja asing tetapi sudah tiba masa untuk menggunakan tenaga tempatan, memberikan latihan sewajarnya mengikut kehendak pasaran yang ada dan minat peserta itu apabila mereka menjadi lepasan TVET.
“Ia bukan sahaja mengurangkan pengangguran tetapi kita akan dapat merapatkan jurang pengangguran tidak ketara dan juga masalah ‘mismatch’ bidang pekerjaan dan kursus yang mereka ikuti,” katanya.
Mengulas mengenai penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), beliau berkata kerajaan komited menyediakan bidang bersesuaian dengan usia pekerja sektor berkenaan.
“Kita ketahui industri gig ini tumbuh 23 peratus setiap tahun dan ini membabitkan RM52.4 bilion pada 2021 dan tentunya KSM (Kementerian Sumber Manusia) dan lain-lain kementerian amat prihatin terhadap nasib mereka dan kita akan sediakan kertas Kabinet bagi mewujudkan suruhanjaya itu.
“Bagaimanapun saya sudah mengadakan perbincangan tidak formal dengan Perdana Menteri, pada dasarnya penelitian terhadap kertas (Kabinet) itu harus dibuat,” katanya.
Sumber: Berita Harian