Terkini
Pesuruhjaya Kanak-Kanak gesa KPM daftar segera Sekolah Agama Rakyat demi pendidikan agama pelajar
Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri mempercepatkan proses pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR).
- Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri mempercepatkan proses pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR).
- Pesuruhjaya Kanak-kanak, Dr Farah Nini Dusuki, berkata ia penting bagi memastikan persekitaran kondusif supaya SAR boleh beroperasi dengan sah, menyediakan pendidikan jitu dan menyokong kebajikan pelajar.
- CC juga mencadangkan Jabatan Agama Islam Negeri bekerjasama dengan Pusat Zakat Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri untuk memberi bantuan kepada SAR yang berdepan kesulitan dalam mematuhi syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa.
- “Usaha ini penting kerana SAR memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan dan bimbingan agama kepada sejumlah besar kanak-kanak di negara ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri mempercepatkan proses pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR).
Pesuruhjaya Kanak-kanak, Dr Farah Nini Dusuki, berkata ia penting bagi memastikan persekitaran kondusif supaya SAR boleh beroperasi dengan sah, menyediakan pendidikan jitu dan menyokong kebajikan pelajar.
Katanya, CC juga mencadangkan Jabatan Agama Islam Negeri bekerjasama dengan Pusat Zakat Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri untuk memberi bantuan kepada SAR yang berdepan kesulitan dalam mematuhi syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Usaha ini penting kerana SAR memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan dan bimbingan agama kepada sejumlah besar kanak-kanak di negara ini.
“Berdasarkan rekod pemerhatian, lebih daripada 90 peratus SAR di Pahang dan Selangor mempunyai kekangan dalam proses pendaftaran.
“Bagaimanapun, SAR di Perak berjaya mendaftar dengan baik berikutan pendekatan ‘Mesra SAR’ oleh kerajaan negeri sejak 2008,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam laporan BH sebelum ini, Kerajaan Selangor menegaskan, ia bersungguh-sungguh dalam usaha membantu Sekolah Agama Persendirian di negara ini untuk kekal beroperasi.
Farah Nini berkata, dilaporkan banyak SAR sudah mengemukakan permohonan dan masih menunggu kelulusan.
“Akibat kekangan masa yang lama, ada SAR memilih untuk beroperasi menggunakan pendaftaran sementara yang diberikan tiga tahun lalu atau lebih awal dari itu.
“Ia secara tidak langsung mendedahkan sekolah itu kepada risiko perundangan dan menyebabkan mereka tidak layak mendapat bantuan kewangan, infrastruktur dan tenaga pengajar berkelayakan,” katanya.
Justeru, CC akan memantau lebih dekat serta menjalankan libat urus bersama pihak berkepentingan berkaitan untuk menangani isu ini lebih efektif.
“CC memohon usahasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat sivil untuk mencari penyelesaian ampuh demi menegakkan hak pendidikan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.
Sumber: Berita Harian